KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 43, sebak di hari pertama puteri sulungnya, Aafiyah masuk ke sekolah.
Berkongsi di akaun Instagramnya, kata penyanyi lagu Purnama Merindu itu, Aafiyah menunjukkan minat dan keterujaan pada hari pertama.
“Alhamdullillah, hari ini hari pertama Aafiyah masuk pra-sekolah. Malam semalam Aafiyah tidur awal, bangun tadi ayah kejutkan dia, kata nak masuk sekolah dia tak cranky (merengus) pun.
“Malahan bersiap cantik dan siap bergaya lagi depan ayah dan ibu dengan baju sekolah. Semangat betul dia nak ke sekolah, Subhanallah.
“Sampai sekolah depan pintu kelas, dia terus masuk tak tengok belakang dah. Ayah ibu yang panggil minta salam, ibu nak nangis tapi tahan sajalah,” luahnya.
Siti yang mesra disapa Tok Ti berharap semoga Aafiyah mendapat berkah dalam ibadahnya menuntut ilmu.
“Semoga Allah SWT pelihara anak ibu dan Aafiyah menjadi hamba Allah yang terang hati, diberikan kelancaran dapat menuntut ilmu agama, dunia akhirat dan hamba yang memberi manafaat kepada insan lain,” doanya.
Sebagai informasi Siti Aafiyah Khalid lahir pada 19 Mac 2018 dan kini berusia empat tahun.