Asal nampak sahaja perkongsian hidup mewah di laman sosial, pasti ada sahaja cerita kurang enak yang singgah. Lebih-lebih lagi golongan anak seni. Tak boleh tunjuk kaya langsung.
Terbaharu, pelakon, Riz Amin pula didakwa terlibat dengan aktiviti scammer. Kononnya artis yang kaya semuanya dapat duit daripada ‘pintu belakang’.
Hakikatnya, tiada siapa yang tahu kepayahan Riz dalam membangunkan perniagaannya sendiri. Jawablah mendapatkan Riz. Menjawab tuduhan serta dakwaan tersebut.
Riz, jawablah!
Perkembangan seni Riz sekarang bagaimana? Macam sudah semakin kurang nampak di layar kaca. Semakin sibuk dengan perniagaan?
Alhamdulillah, masih ada lagi drama-drama yang akan muncul di layar kaca. Lebih kurang empat naskhah, tetapi buat masa ini saya memang sibuk berniaga.
Memang fokus perniagaan, sebab sudah masuk 32 negara. Produk kesihatan dan kecantikan. Jangan risau, syarikat saya memang legit.
Bila jarang nampak di kaca TV ada yang beranggapan Riz merajuk atau berkecil hati? Sehingga ada yang cakap sudah mahu bersara?
Tak merajuk pun, apatah lagi berkecil hati pun. Saya sudah 20 tahun dalam industri seni, kini sudah ada fokus lain.
Saya mahu kehidupan yang lebih baik terutama untuk keluarga Sebab itu saya berani buka perniagaan. Alhamdulilah. Rezeki Tuhan nak bagi.
Tetapi di media sosial lain pula cerita. Ada pula yang cemburu dengan kemewahan gaya hidup Riz. Ada yang cakap perlu ke menunjuk-nunjuk?
Tayang kemewahan? Mana ada. Itu adalah bukti kejayaan saya. Dua tahun sahaja buat perniagaan, dapat ubah hidup. Sebenarnya saya nak berkongsi rezeki juga untuk ramai orang.
Saya nak tolong buka peluang untuk orang ramai sertai perniagaan ini. Jangan ada sifat dengki atau cemburu bila tengok. Lagipun di media sosiallah kita boleh memasarkan produk kita, tak kisah perniagaan atau kerjaya seni.
Riz sebelum ini kekal dengan imej bersih dan tiada kontroversi panas. Namun baru-baru ini, nama Riz terpalit kononnya terlibat dengan aktiviti scammer? Lebih-lebih lagi ramai artis konon nya terlibat.
Alhamdulillah, saya memang tiada kontroversi pun selama 20 tahun sebagai anak seni. Scammer? Saya tak pernah scam sesiapa termasuk rakan artis.
Tetapi beginilah, ada yang sertai perniagaan saya dengan niat untuk terus kaya. Letak modal tetapi tidak mahu kerja. Itu bukan saya yang scam tetapi mereka yang scam diri sendiri.
Ramai yang cakap perniagaan itu hanyalah satu ‘topeng’. Komen Riz?
Tak ada gunakan topeng pun. Saya kena pulangkan ‘topeng’ itu kepada mereka yang suka sangat sebar fitnah.
Selama dua tahun, tak pernah pula ada pihak polis atau pihak berwajib cari saya. Saya jual produk dan proses jual beli itu berlaku. Saya sendiri tidak faham bagaimana dakwaan itu boleh timbul. Semuanya mengikut undang-undang tau.
Terasa tak bila ada yang mempertikaikan usaha Riz dalam berniaga? Sudahlah berniaga ini susah, ada pula yang cakap ala propa sahaja.
Dalam dunia perniagaan, memang asam garam jika ada orang khianat, dengki dan suka tabur fitnah. Biasalah, mana-mana pun ada orang yang perangai begitu.
Orang yang dengki ini tak tahu suka payah saya nak bina Aplha Empire. Orang hanya nampak kesenangan. Di media sosial bukan tempat nak tunjuk kesusahan. Kalau nak berjaya kena usaha, bukan nak propa!