Baru-baru ini saya menerima pemberitahuan mengenai tawaran sambung belajar anak saya yang baru sahaja mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun saya tertanya-tanya apabila turut menerima tawaran kemasukan ke beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak pernah saya dengar namanya sebelum ini, sebab tidak pernah isi borang permohonan.
Dalam hati terdetik, manalah mereka mendapat maklumat lengkap anak.
Bukan setakat alamat tetapi siap dengan nombor kad pengenalan.
Antara maklumat dalam risalah berkenaan ialah mengenai tawaran program berkembar diadakan bersama institusi pengajian tinggi awam tempatan.
Itu belum lagi panggilan dan pesanan di aplikasi WhatsApp yang agak detail mengenai diri anak. Siap diundang ke program temuduga.
Memang undangan diberikan itu agak mesra dan memancing. Bukan saya seorang menerima pesanan, risalah dan sebagainya ini. Ramai lagi kawan-kawan saya yang ada anak lepasan SPM menerima benda sama. Malah akhbar Utusan Malaysia pun sudah membuat pendedahan mengenai maklumat pelajar dijual kepada pihak ketiga.
Ada ‘mangsa’ yang datang bersama ahli keluarga untuk menghadiri temuduga ditawarkan itu. Selepas ‘berkenalan’ rupa-rupanya ada bayaran yang dikenakan. Bukannya tawaran hadir bersama biasiswa seperti dijanjikan. Auta sahaja.
Bagaimana kalau sudah terikat dan membayar tetapi berubah fikiran? Tentu duit akan lesap begitu sahaja. Dengan siapa kita mengadu? Kalau mengadu dapat semula wang kita tak mengapa, yang risaunya bila kita pula yang kena naik turun mahkamah pengguna untuk mendapatkan hak.
Mudah sangat maklumat diri kita terbongkar. Bukankah ia sesuatu sepatutnya sesuatu peribadi, bukannya di jual beli?.
Bagi sesebuah syarikat berdaftar contohnya, kalau kita ingin menerima maklumat daripada perniagaan mereka, mereka perlukan kebenaraan daripada kita.
Memang jelas tertera ayat pilihan itu sama ada kita mahukan maklumat berkenaan di email atau sebaliknya. Dalam hal sambung belajar lepas SPM ini, memang tidak telus. Segelintir orang mungkin berfikiran, kalau sudah di pos ke rumah, buang sahaja.
Bagi yang mendapat notifikasi di telefon pintar atau email, tak perlu di jawab pun tak mengapa. Begitu juga kalau menerima panggilan telefon atau pesanan.
Realitinya bukan isu layan atau tidak, sebaliknya ia membabitkan aspek keselamatan.
Biarpun swasta bergerak sendiri tetapi tidak seharusnya mereka memancing sendiri pelajar.
Perlu ada pihak yang mesti memantau pergerakan institusi pengajian tinggi swasta ini. Sebagai pengguna kita perlu sentiasa beringat sebelum terkena.
—
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.