KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi terkenal, Tam Spider mengajak masyarakat agar tidak mengangkat golongan tidak berbakat dalam industri seni tanah air.
Kata Tam atau nama sebenarnya Rustam Mustafah, tindakan meraikan golongan-golongan tersebut hanya akan membawa kesan negatif kepada industri seni.
“Jangan sensasikan mereka. Kita patut raikan yang berbakat sahaja. Mereka orang berniaga, kenapa kita sibuk nak keluarkan mereka dekat televisyen dan radio? Itu tidak adil.
“Lepas itu, ramai pula yang persoal kenapa wujud orang-orang macam ini dalam industri seni?
“Ini tanggungjawab kita bersama. Baik artis, label, media dan peminat,” tegasnya.
Tam berkata demikian pada sesi bersama media untuk Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 yang berlangsung Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Tam juga meminta agar peminat tidak menyalahkan mana-mana komposer atau pembikin muzik yang menerima tawaran untuk menghasilkan karya kepada golongan-golongan usahawan tersebut.
Katanya, peminat perlu tahu membezakan antara perniagaan dan seni.
“Buat lagu untuk mereka? Itu tak salah. Cuba fikir semula, lagu, jingle untuk iklan itu datang dari mana? Studio.
“Studio adalah platform perkhidmatan. Bukan untuk orang-orang berbakat sahaja.
“Jadi, jangan tuding jari, salahkan pemuzik kalau mereka buat lagu untuk orang tidak berbakat. Itu adalah perniagaan. Satu pekerjaan,” katanya.