Kesegaran koboi Malaysia - Utusan Malaysia

Kesegaran koboi Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH lama sebenarnya saya tidak merasa segar apabila mendengar lagu baharu. Banyak lagu yang sedap dihasilkan dalam beberapa bulan ini tetapi yang betul-betul segar sangat susah nak jumpa.
Banyak kugiran masih selesa dalam ruang nyaman mereka. Mengulang formula lama dan tidak cukup bereksperimentasi.

Namun, ketika pertama kali mendengar Mascot, saya tertarik. Bunyi mereka tidaklah baharu. Mereka memainkan genre yang sama dengan beberapa kugiran lain tetapi ada kesegaran.

Kesegaran ini tidak semestinya pada bunyi. Ia boleh datang dari sikap, lirik dan konsep kugiran. Mascot memenuhi perkara-perkara ini, menyebabkan mereka masih kedengaran segar walaupun memainkan genre yang tidak begitu asing.

Tumbuh laju
Usia Mascot secara rasmi belum pun setahun tetapi sudah ada satu EP dan satu album. EP Penutup dilancarkan pada April dan selang dua bulan, mereka lancar album Permulaan pula.

Mascot sebagai projek muzik Aiman Z. (vokal/gitar) wujud sejak 2014. Anda boleh cari album Demo Days oleh Aiman Z. di Spotify. Namun, Mascot yang wujud sekarang berbeza, baik dari aliran muzik mahupun karakter.

Mascot kini dianggotai Aiman, Izz (bass) dan Zi (vokal/gitar). Mereka memainkan muzik Midwest Emo dengan suntikan pengaruh hardcore, punk juga J-rock.

“Inilah dinamakan sebagai ‘Mascot thing’,” kata Izz apabila saya tanyakan, mengapa lancar album terlalu awal, hanya dua bulan selepas EP mereka masuk platform digital.

“Kami nak bina hype sebelum persembahan pertama kami. Lagipun, kalau nak main dalam mana-mana acara, empat lagu tak cukup,” kata Aiman.

Sama ada keputusan itu tergesa-gesa atau sangat bijak, hanya masa yang akan menentukan. Yang pasti, pelancaran Permulaan menggembirakan peminat mereka dan mencuri perhatian ramai pengikut lapangan muzik independen setakat ini.

Campuran pengaruh
Jika anda mengesan perbezaan pada bunyi Mascot dalam Permulaan berbanding Penutup, ia antara lain kerana kehadiran Izz dan Zi.

EP Penutup dihasilkan ketika Mascot hanya dianggotai Aiman. Selepas itu baru Izz dan Zi dipelawa masuk.

“Dalam Permulaan, setiap kami curahkan personaliti dan gaya sendiri. Macam lagu Pulih, banyak terinspirasi dari math rock dan J-rock, itu datang dari Zi.

“Lagu Soal, umumnya itu lagu melodic hardcore, dari pengaruh aku dan Izz. Ada lagu macam Menangis pula, pengaruh Indonesia dari Zi. Ada juga trek yang pelik sikit, macam Sayang dan Interlude,” kata Aiman.

Bagi Zi yang menulis lagu-lagu dalam album itu bersama Aiman, ada perbezaan antara sentuhannya dengan Aiman. Dari segi penulisan lirik, Aiman lebih terus-terang berbanding penulisannya yang agak kompleks.

“Lagu Gerhana aku tulis tentang pengalaman cinta berbeza agama. Cinta berbeza agama itu sukar, macam siang dan malam yang tak mungkin bersatu tetapi mungkin akan ada detik ajaib yang menyatukannya, seperti gerhana,” kongsi Aiman.

Malah, ada juga lagu dalam album itu yang ditulis mengikut sudut pandang seekor kucing. Cuba anda cari lagu mana satu.

Koboi Malaysia
Mascot tidak mahu jadi kugiran biasa. Mereka mahu datang dengan pakej supaya lebih menonjol. Melalui Penutup, mereka dapat lihat karya mereka boleh diterima ramai. Cabaran seterusnya, bagaimana untuk tarik lebih ramai orang mendengar karya mereka?

Maka wujudlah sebuah pasukan yang akan menguruskan keseluruhan aktiviti muzik Mascot, baik dari segi penampilan, pengurusan, publisiti dan persembahan langsung.

Selain tiga anggotanya sendiri – Aiman bertanggungjawab hal produksi audio dan perhubungan awam, Izz (acara dan pengurusan) serta Zi (penyelaras persembahan dan penulis lagu) – mereka turut merekrut dua lagi ahli pasukan, iaitu Aina (peneraju kreatif) dan Jabbar (pengarah fotografi).

Menurut Aiman, kehadiran Aina membolehkan mereka tampil dengan imej lain dari yang lain. Jika kugiran lain biasa tampil klise dengan pakaian ringkas serba hitam, mereka memakai warna-warna cerah seperti padanan flannel dengan baju putih kosong.

“Kami macam pekerja ladang. Idea ini spontan sebenarnya sebab kami main open tuning yang biasa digunakan untuk instrumen folk (Amerika Syarikat) seperti banjo, jadi kami gurau-gurau macam kami ini koboi. Kami guna ‘howdy’ untuk sapa orang. Akhirnya melekat.

“Jadi sekarang kami berpenampilan macam koboi Malaysia. Ada topi dengan baju ini,” katanya.

Persembahan pertama Mascot berlangsung semalam dalam gig School of Sound Volume 2 di MyStudio, Sungai Buloh anjuran Table Kuning. Mereka juga akan terus mendapatkan persembahan-persembahan lain sebelum berhenti sementara untuk memberi fokus kepada jualan cenderamata.

Album fizikal Permulaan dijangka dipasarkan pada Julai atau Ogos dan mereka juga akan mengadakan showcase sendiri pada September nanti. Terus ikuti perkembangan Mascot dan cuba dengarkan album Permulaan. Anda nilai sendiri, kugiran ini cukup rencah untuk menarik hati anda atau tidak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya