Kembara metal 5 negeri - Utusan Malaysia

Kembara metal 5 negeri

KUALA LUMPUR, 29 MEI 2022 - Sesi fotografi bersama band Indie, Zerophobia dan May of Scarlet di Stesen KTMB KL di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID / PEMBERITA - KU SYAFIQ ( UTUSAN )
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BETUL-betul meriah lapangan muzik independen ketika ini. Setiap minggu ada saja gig yang berlangsung. Ada hari, empat lima gig berlangsung serentak.

Pastilah situasi ini memberi isyarat positif untuk muzik independen. Nadinya, iaitu gig, kembali berdetak laju selepas tertahan-tahan suatu masa dahulu akibat pandemik.

Selain gig yang dianjurkan setiap minggu, banyak juga kugiran mengadakan jelajah. Negeri-negeri yang aktif seperti Johor, Pulau Pinang dan Perak menjadi destinasi wajib. Ada juga yang mencuba nasib sehingga ke Kedah, Perlis dan Terengganu.

Dalam keadaan lapangan sedang aktif ini, penganjuran jelajah sangat digalakkan. Kugiran sendiri tahu, mereka ada ramai peminat di luar Lembah Klang. Jelajah adalah kesempatan untuk bertemu, berkenalan dan meraikan rasa cinta muzik dengan peminat yang lebih ramai.

Gabung tenaga

Zerophobia dan May of Scarlet antara kugiran baharu yang semakin mendapat perhatian. Dalam lingkungan metal, dua kugiran ini antara yang mengisi barisan gelombang baharu metal yang bagi saya, perlu diperhatikan.

Kedua-duanya baru melancarkan album masing-masing. Zerophobia dengan Sinner dan May of Scarlet dengan Menangislah. Kedua-duanya sudah menganjurkan showcase sendiri. Kedua-duanya ada kekuatan tersendiri. Kedua-duanya ada pengikut tersendiri.

Dua tenaga ini digabung dalam Jelajah Sinner Menangislah yang akan singgah di lima negeri dalam tempoh kira-kira tiga bulan.

“Kami nak cuba bawa muzik metal generasi baharu ini ke negeri-negeri lain, terutamanya yang tidak begitu aktif dengan gig seperti Kedah dan Terengganu. Kami nak bawa muzik kami ke sana-sana.

“Kedua-dua kami pun dah buat showcase di Lembah Klang. Ini masa untuk kami kembangkan muzik kami ke negeri lain pula,” kata Safwan, vokalis May of Scarlet.

Cuba dulu baru jaya

Mereka tidak mahu melihat jelajah ke negeri-negeri di luar Lembah Klang sebagai satu risiko. Betul, jelajah ini dibiaya sepenuhnya oleh mereka sendiri. Untung atau rugi, mereka yang tanggung.

Namun, usaha melebarkan pengaruh ke serata Malaysia ini mahu dilihat positif.

“Kita sendiri perlu mula, baru tahu penerimaannya macam mana,” kata Harith, vokalis dan gitaris untuk Zerophobia.

Menurut Safwan juga, pemilihan lima negeri tersebut dibuat berdasarkan pembelian album dan cenderamata mereka. Ada pembelian dari negeri-negeri tersebut bermakna ada peminat yang menantikan

kehadiran mereka untuk beraksi secara langsung di hadapan mata.

“Kami buat jelajah ini sebab kami nampak peminat dah mula terima kami, mula bercakap tentang kami. Jadi, jelajah ini beri peluang untuk mereka yang tak pernah tonton persembahan kami, sebab mereka jauh dari Kuala Lumpur.

“Ini sebagai penghargaan kepada mereka yang sokong kami, beli album dan cenderamata kami,” kata Safwan.

Suara generasi baharu

Setiap kali saya menemu bual kugiran metal, hal ini akan timbul. Tentang kemunculan generasi baharu metal yang sedang berbaris, menunggu masa untuk mengepalai kebangkitan metal tanah air.
Kemunculan mereka bukan untuk melenyapkan pengaruh kugiran metal dahulu tetapi untuk menyambung legasinya. Kerana yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti.

“Kami harap generasi kami ini akan diterima juga seperti mana kugiran sebelum ini diterima. Kami masih bawakan muzik yang sama cuma ada sentuhan baharu,” kata Safwan.

“Aku fikir ada kemungkinan juga kami boleh ulang kegemilangan metal yang dahulu, jika diberi peluang. Yang penting, kami kena mulakan dahulu, jangan tunggu penerimaan orang.

“Kalau kami tak mula, peminat nak sambut apa?” kata Harith, menegakkan semula pandangannya tentang cuba jaya.

Untuk Jelajah Sinner Menangislah, Zerophobia dan May of Scarlet akan mendapat sokongan daripada pelbagai kugiran di setiap lokasi acara. Pemilihan kugiran jemputan ini juga akan mengutamakan bakat-bakat baharu yang memerlukan lebih pendedahan.

“Kami melihat apa yang dilakukan kugiran senior lain, contohnya Sekumpulan Orang Gila. Kami sendiri sering diberi peluang untuk beraksi dalam acara mereka.

“Sekarang kami cuba lakukan apa yang mereka lakukan selama ini. Walaupun kami sendiri belum lama dan popular, kami gunakan apa platform yang ada untuk bantu kugiran-kugiran baharu,” jelas Hayzeeq, pemain gitar Zerophobia.

Sokong sampai teguh

Jelajah Sinner Menangislah bermula di Melaka pada 25 Jun ini, kemudian diteruskan di Perak (16 Julai); Johor (20 Ogos); Kedah (27 Ogos) dan berakhir di Terengganu pada 17 September.

Tempoh yang lama dipilih bagi memudahkan urusan kebanyakan ahli kugiran yang mempunyai pekerjaan harian. Selain itu, ia juga untuk memanjangkan tempoh mereka aktif membuat persembahan, agar dua album yang dihasilkan masih disebut-sebut sehingga September ini.

Bagi vokalis Zerophobia, Aswad, dia berharap jelajah ini akan melebarkan pengaruh muzik serta menambah rangkaian mereka ke negeri-negeri lain.

“Lapangan ketika ini sedang aktif, jadi inilah masanya untuk kami perluaskan pengaruh dan untuk peminat menunjukkan sokongan kepada kugiran seperti kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya