Saya mengenali penyanyi dan pelakon, Allahyarham Adibah Noor, bukanlah secara peribadi. Hubungan yang terbina hanya setakat mendengar lagu-lagunya menerusi dua album diterbitkannya sendiri berjudul Terlalu Istimewa (2005) dan Teman (2010).
Ketika seluruh negara bersedih mendengar berita pemergiannya akibat kanser ovari, penulis mengakui itu benar-benar menyayat hati. Meskipun ikatan antara kami, hanyalah sekadar melodi menyambung kasih, namun saya sendiri ibarat terduduk mendengar berita duka itu.
Pernah sekali saya menghubungi pemilik nama penuh Adibah Noor Mohamed Omar ini melalui Instagram, hanya bertanya perkembangan album ketiganya yang sememangnya sudah siap dihasilkan sejak 2016. Namun, ia masih tidak dilancarkan sehinggalah ajal menjemputnya.
Banyak cabaran terpaksa dihadapi penyanyi lagu Haruskah Terpisah Akhirnya ini untuk menerbitkan album diberi nama Jiwa Sentuh Jiwa.
Bermula alasan belum menemui kekuatan melancarkannya dalam keadaan pasaran cakera padat bukan lagi pilihan pendengar kini dan Covid-19 pula melanda, Adibah tidak mempunyai banyak pilihan selain terpaksa menyimpan album itu lebih lama.
Maklumlah, kos untuk menghasilkan dan melancarkan album bukanlah seringgit dua, lebih-lebih lagi Adibah sebelum ini diuji dengan ketiadaan job sepanjang pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan album itu terus tergantung tidak bertali.
TERLALU ISTIMEWA
Jiwa Sentuh Jiwa – berbeza dengan dua album pertamanya. Album itu adalah album duet penuh menampilkan penyanyi-penyanyi senior tanah air seperti Misha Omar, Anuar Zain, Allahyarham Nassier Wahab, Sam Innuendo, Atilia dan Dina Nadzir.
Lagu utama, Jiwa Sentuh Jiwa mengambil judul sama dengan album itu, menyaksikan Adibah berduet bersama Misha, hanya pernah didendangkan sekali secara langsung pada konsert mini Adibah Noor Into The 3rd Decade pada 2016.
Tidak cukup dengan itu, lagu berkenaan pernah dijadikan sebagai runut bunyi dalam drama Melayu bertajuk Mati Tunggu Sekejap. Adibah sendiri bertindak sebagai pelakonnya berganding dengan Ziana Zain dan Nasha Aziz.
Komposer dan penulis lagu di dalam album itu bukanlah biasa-biasa. Selain Aubrey Suwito, Azlan Abu Hassan, Aubrey, Ad Samad dan ramai lagi yang menjadi tunjang kekuatan dalam album itu.
Persoalannya, adakah mereka dapat merealisasikan Jiwa Sentuh Jiwa setelah pemergian Adibah, sekali gus menamatkan penantian peminat-peminatnya?
Andai kata Jiwa Sentuh Jiwa dilancar dan dipromosikan dengan baik, siapa yang menduga, lagu itu dapat mengulangi kejayaan Terlalu Istimewa menyaksikan dia dinobatkan sebagai Juara Lagu 2006 (Vokal Terbaik dan Juara Balada)?
Sayang seribu kali sayang, album itu seakan-akan ‘pergi’ bersama Adibah. Lebih-lebih lagi, Adibah bukanlah penyanyi yang bernaung di bawah pasukan pengurusan artis atau syarikat rakaman.
Justeru, tidak pasti sama ada Jiwa Sentuh Jiwa masih mempunyai ruang dikomersialkan ketika jeda masa penghasilannya sudah terlalu lama.
Mungkin lagu-lagunya akan kekal begitu. Namun tidak pada pembungkusan atau cover album yang perlu disesuaikan dengan pasaran semasa. Kendatipun, kita perlu berbalik pada ketentuan takdir. Setiap perancangan itu terbatas dan takdir Tuhan mengatasi segalanya.
KECURIGAAN
Sekalipun Jiwa Sentuh Jiwa tidak dapat dilancarkan, sekurang-kurangnya, Adibah hadir dengan karya terakhir berjudul Kecurigaan, yang dilancarkan di Youtube pada 24 Januari lalu. Usai sahaja dia menghabiskan pertandingan Gegar Vaganza 8 (GV8) selama 10 minggu.
Kecurigaan, yang dicipta oleh komposer dan penulis lirik, Chevy Amry dan disusun oleh Azlan Abu Hassan kini berusia enam bulan dan mencecah 66,000 jumlah tontonan.
Pun begitu, sejak dilancarkan, Adibah tidak pernah menyanyikannya secara langsung di mana-mana saluran televisyen, bahkan, di media sosialnya. Bukanlah dia tidak pernah dijemput bagi mengisi slot rancangan televisyen atau radio, tetapi, Adibah menolak untuk ke udara atas alasan tersendiri.
Barulah penulis percaya, penolakan itu berasas kerana faktor kesihatan yang tidak memihaknya. Walaupun di sudut lain, itulah ruang dan peluang yang Adibah ada untuk membuat kemunculan semula dan memeriahkan industri muzik tanah air.
Kecurigaan bukan karya picisan. Ia satu produk dengan kualiti setara karya agung terdahulunya, Terlalu Istimewa dan Sejujur Hatimu. Namun, bezanya, ia tidak mempunyai masa cukup untuk dipromosikan.
ISTANA MENANTI
Penulisan ini tidak menyimpulkan lagu dipersembahkan Adibah bertanding pada GV8 berkait dengan pemergiannya. Namun, ketika Adibah menyanyikan lagu Istana Menanti (minggu 2) cukup menggambarkan tentang kematian dan liang lahad adalah destinasi terakhir bagi semua manusia.
“Getar jari-jemari, bertaut pada harapan ini, aku membilang hari, apa akan datang hari, ku nanti, istana menanti pasti,” memetik lirik lagu nyanyian asal Rahim Maarof.
Hanya Adibah seorang tahu apa dia rasakan. Seolah-olah dia tahu apa perjalanan hidup yang sudah tertulis untuknya. Sama seperti yang lain, penulis juga baru sedar Adibah sebenarnya menderita di sebalik keceriaan dan penampilannya sebagai penghibur sepanjang zaman.
Andai Adibah masih ada, sekurang-kurangnya dia tahu, masih ada yang menantikan kemunculan naskhah baharunya, walaupun terpaksa mengambil masa seribu tahun.
Selagi mana orang di luar sana mampu menilai karya dengan mata hati, Adibah tidak perlu bimbang jika Jiwa Sentuh Jiwa tidak mencapai standard dikehendakinya.
Pergilah Adibah selama-lamanya ke negeri abadi, yang pasti, kehilangannya tidak sesekali mengurangkan apa yang dia telah curahkan untuk industri muzik negara.