Jangan ajar wanita pakai apa, ajar lelaki hormat wanita - Cindy - Utusan Malaysia

Jangan ajar wanita pakai apa, ajar lelaki hormat wanita – Cindy

Cindy pernah mangsa keganasan sehingga dia lantang menyuarakan ketidakpuasan hati dalam media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EMPAT tahun lalu, sosok wanita cantik ini pernah menjadi tajuk utama di dada akhbar Thailand gara-gara menegur pihak berkuasa negara itu.

Tegurannya cuma satu iaitu jangan ajar wanita supaya tidak kelihatan ‘seksi’ sekiranya mahu mengelak menjadi mangsa serangan seksual semasa sambutan tahun baharu di Thailand.

Jabatan Pentadbiran Tempatan ketika itu menyeru wanita memakai pakaian sopan semasa Pesta Songkran bagi mengelakkan menjadi mangsa gangguan seksual.

Semasa festival itu, Cindy Bishop turut menjadi mangsa keganasan sehingga dia lantang menyuarakan ketidakpuasan hati dalam media sosial.

Dia melancarkan kempen #DontTellMeHowToDress (Jangan ajar saya cara untuk berpakaian) dan #tellmentorespect (ajar lelaki untuk belajar rasa hormat).

Dia malah menyeru orang ramai menyertai kempen tersebut dengan memuat naik gambar atau pengalaman menjadi mangsa serangan seksual.

Cindy memuat naik video mengenai mesej ‘Jangan ajar wanita apa yang perlu dipakai, ajar lelaki supaya menghormati wanita’ sehingga mencetuskan perdebatan dalam media sosial dan mendapat perhatian media antarabangsa.

“Apa yang dipakai oleh golongan wanita bukan alasan untuk membenarkan gangguan seksual berlaku.

“Sebaliknya, lelaki perlu menghormati wanita dan tidak berkelakuan tidak wajar.

“Wanita mempunyai hak untuk memakai apa sahaja yang mereka mahu dan lelaki tidak mempunyai hak untuk menggunakan pakaian sebagai alasan menjustifikasikan kelakuan mereka,” tegasnya.

AKTIVIS WANITA
Pemilik nama asal, Cynthia Carmen Burbridge Bishop atau Sirina Winsiri ini digelar sebagai aktivis wanita yang menentang keras kezaliman dan keganasan terhadap golongan itu.

Wanita yang lahir di Bangkok dan membesar di Pattaya sebenarnya adalah seorang pelakon, model dan ratu cantik dari Thailand.

Cindy dilahirkan pada 30 Disember 1978 dan pernah menjadi hos serta juri dalam pertandingan Asia’s Next Top Model.

Ayahnya, William Burbridge merupakan warga Amerika Syarikat (AS), manakala, ibunya, Patricia mempunyai darah kacukan India, Thailand dan Inggeris.

Cindy pernah mendapat pendidikan di Sekolah Antarabangsa Ruamrudee, Bangkok dan menyambung pengajian di Universiti Bangkok dalam jurusan perhubungan awam.

Pada 2005, dia berkahwin dengan seorang model AS berasal dari Jepun, Byrin Bishop dan dikurniakan dua anak, Leila Carmen dan Aiden.

PUPUK KESEDARAN
Pada Julai 2018, Cindy bekerjasama dengan agensi wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menganjurkan Pameran Sosial terhadap Serangan Seksual.

Acara itu disokong oleh agensi di bawah PBB, Kerajaan Thailand, Filipina dan Singapura serta kumpulan aktivis sosial lain.

Tahun sama, Cindy menerima anugerah ‘Aktivis Tahun Ini’ dari pejabat Perdana Menteri Thailand.

Dalam pada itu, Cindy juga adalah Pengarah Dragonfly360 yang merupakan platform serantau yang memberikan advokasi terhadap isu kesaksamaan jantina di Asia.

Dia malah pernah menulis beberapa siri buku mengenai keselamatan, hak dan kehormatan antara kanak-kanak.

Sumbangan kepada wanita dan kanak-kanak melayakkan dirinya diiktiraf antara 100 Wanita Berpengaruh 2020 yang diumumkan dalam portal berita BBC.

BERGELAR RATU CANTIK
Pada 1996, Cindy merangkul takhta ratu cantik Thailand dan mewakili negara itu ke pentas dunia di Bangalore, India.

Wanita ini pernah dinobatkan sebagai pelakon pembantu terbaik dalam Anugerah Suphanahong 2005 menerusi filem The King Maker.

Cindy turut membintangi pelbagai drama siri tempatan seperti Gossip Girl.

Pada 2016, Cindy pernah mengacarakan dua episod dalam Britain’s Next Top Model.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya