“Intonasi bahasa Melayu kedengaran merdu dan bahasa ini juga bersifat inklusif kerana terdapat kata pinjaman daripada bahasa Inggeris, Kantonis, Hakka dan lain-lain,” kata Liang Liang, 28 atau lebih dikenali sebagai Husna.
Wartawan Kumpulan Media China (CMG) berkata, nama Husna diberikan pensyarah bahasa Melayunya di Universiti Minzu Yunnan (YMU), Kunming, China.
Husna sememangnya dikenali kebanyakan warga tempatan memandangkan dia sering berceloteh dan berkongsi pengalaman peribadi belajar bahasa Melayu di media sosialnya.
Gadis ini berasal dari wilayah Yunnan, terletak di barat daya China. Penduduk di wilayah itu terdiri daripada pelbagai etnik dengan 26 daripada 56 etnik minoriti di seluruh China. Ibunya berbangsa Han manakala bapanya dari etnik Zhuang. Husna dibesarkan di kawasan mereka yang beretnik Dai, Lahu, Wa dan lain-lain.
Setelah menuntut di YMU selama dua tahun, Husna berpeluang mempelajari bahasa Melayu di Universiti Malaya (UM) di bawah program pertukaran pelajar bagi tempoh dua semester, sebelum menyambungkan tahun akhir di YMU.
“Sewaktu di Kunming, selain belajar bahasa Melayu, kami turut menyertai pelbagai aktiviti meliputi Pesta Budaya Asia Tenggara. Kami belajar memasak makanan Malaysia, membuat wau bulan, belajar tarian inang dan sebagainya. Semua ini menjadi kenangan manis bagi kami,” katanya.
KELEBIHAN KUASAI BAHASA
Kampung halaman Husna yang terletak di wilayah Yunnan turut berkongsi sempadan dengan beberapa negara ASEAN seperti Myanmar, Laos dan Vietnam.
Pada ketika itu, dia masih merupakan seorang pelajar di sekolah menengah, namun, dia berpendapat bahawa penguasaan sejenis bahasa di negara Asia Tenggara mungkin membolehkan dia mendapat pekerjaan lebih baik di kampung.
Husna akhirnya mengambil keputusan memilih jurusan bahasa Melayu di universiti kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang ekonominya semakin maju, masyarakat harmoni, di samping mengekalkan kebudayaan pelbagai kaum serta mempunyai pelbagai jenis makanan yang enak.
“Hari ini saya mampu bertutur di dalam bahasa Melayu jauh lebih fasih daripada bahasa Inggeris.
“Pada pandangan saya, tata bahasa bahasa Melayu jauh lebih mudah dikuasai berbanding bahasa Inggeris, biarpun bagi pelajar yang baharu belajar bahasa Melayu,” tambahnya.
Di China terdapat sebanyak 13 buah kolej dan universiti menawarkan jurusan bahasa Melayu.
Hubungan erat dan interaksi berkekalan antara China dan Malaysia mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk graduan jurusan ini, baik dalam bidang hal ehwal luar, ekonomi dan perdagangan, media, pendidikan, mahupun pelancongan.
PREJUDIS BAHASA
Bagi Husna, Malaysia boleh memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dengan menghapuskan sikap prejudis terhadap bahasa.
“Menyeragamkan Bahasa Melayu, agar bahasa ini dapat digunakan dalam perbincangan berhubung sains dan teknologi moden.
“Memperluaskan pembelajaran bahasa Melayu di arena antarabangsa sekali gus membolehkan lebih ramai warga asing mengenali bahasa Melayu dan yang terakhir ialah dengan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di internet iaitu dengan menggalakkan netizen menghasilkan lebih banyak produk media dalam bahasa Melayu di media sosial,” jelasnya.
DUTA INTERNET
Kisah Husna membuatkan saya percaya yang komunikasi bahasa adalah permulaan dan asas.
Melalui pembelajaran dan penggunaan bahasa, golongan muda di China dan Malaysia dapat mengenali satu sama lain.
Kita memerlukan lebih banyak sosok seperti Husna yang petah berbahasa Melayu sebagai duta kita di internet.
Bukan sahaja dapat membantu rakyat Malaysia memahami budaya pelbagai negara, tetapi turut membantu memperkenalkan budaya Melayu di seantero dunia.
Tak kenal maka tak cinta, Inilah maksud yang saya rasai dalam kisah Husna dan kepentingan pengantarabangsaan bahasa Melayu.