Hormati perasaan keluarga saya - Aiman Hakim Redza - Utusan Malaysia

Hormati perasaan keluarga saya – Aiman Hakim Redza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHAGIA di samping anak, Isaac Rees dan isteri yang juga pelakon, Zahirah MacWilson, kehidupan aktor, Aiman Hakim Ridza, 33, kini bagai mendekat makna sempurna.

Bergelar bapa, anak kelahiran Johor Bahru ini mungkin sudah sedikit berbeza dengan Aiman Hakim yang dulu. Matang menggalas peranan sebagai ketua keluarga.

Aiman telah ‘move on’ dengan fasa kehidupan baharu. Bagaimanapun, percaya atau tidak, wujud segelintir netizen yang masih ‘terperangkap’ dengan dunia Aiman yang dahulu. Yang masih gigih menyelak cerita lama, kisah-kisah percintaan dan kontroversi yang pernah melanda pelakon ini satu masa lalu.

Perkara itu ditanyakan kepada pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini, ketika hadirnya dia menjayakan sesi fotografi dan wawancara di pejabat Media Mulia, pada Rabu lepas.

“Peristiwa lalu, kalau dikenang, tidak akan membawa kebaikan. Saya dah tak kisah tentang apa orang nak kata. Kisah saya dahulu sudah tak penting.

“Saya mohon. Kepada netizen, yang masih berbicara soal kisah lama saya, hormati perasaan keluarga saya,” pintanya.

Tentang She Was Pretty
“Template skrip dan formula yang diambil dari drama Korea,” Itu jawapan Aiman tatkala disoal mengapa dia menerima lamaran untuk menghidupkan watak Haniff menerusi drama She Was Pretty terbitan Independent Pictures yang sedang ditayangkan di platform penstriman, Viu.

Kata Aiman dia tertarik dengan skrip drama itu yang padanya, lain daripada yang lain.

“Dalam cerita ini tak ada watak antagonis. Boleh saya katakan skrip untuk drama ini berbeza dengan kebanyakan drama yang pernah saya jayakan sebelum ini.

“Semua persoalan dalam drama ini terjawab. Ada sebab kenapa watak ini dihantar ke Malaysia, kenapa dia dan bukan orang lain, apa masalah syarikat di dalam cerita ini?

“Jadi penceritaannya tak kosong, bukan sekadar mengisahkan dua insan bercinta,” katanya.

Pada masa sama, Aiman juga kagum dengan gerak kerja produksi yang baginya lengkap dan menyenangkan.

“Pertama kali saya berlakon dalam produksi yang serba serbi lengkap. Saya datang sedia untuk berlakon sahaja. Tak perlu fikir perkara lain.

“Proses sangat lengkap. Keselamatan, pemakanan, pakaian, solekan semua ada bahagian khusus.

“Semua kru produksi akan peka babak apa yang dirakam. Kebajikan dijaga, masa ditepati. Boleh katakan sistem diguna pakai produksi untuk drama ini sangat lengkap,” jelasnya.

Proses kematangan diri
Dalam tempoh lebih 10 tahun, sudah lebih 30 drama Aiman Hakim jayakan. Rezeki dalam bidang lakonan tidak pernah putus buat pelakon berketinggian 186 sentimeter ini.

Katanya, tempoh lebih satu dekad itu adalah satu proses kematangan kepada dirinya yang bergelar anak seni.

“Pendedahan yang saya terima dalam industri berlaku terlalu cepat. Ada satu ketika, saya terlalu teruja. Kita pernah merasakan berada di puncak kejayaan. Pengalaman itu dirasai semua selebriti.

“Itu adalah proses yang mematangkan. Saya kekalkan hubungan baik dengan artis-artis senior dan belajar banyak perkara daripada mereka.

“Mereka pernah berada di kemuncak kerjaya. Namun, sampai ke hari ini, kebanyakan mereka masih mengekalkan disiplin, sikap rendah diri, keyakinan dan prinsip yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, Aiman mengakui, perjalanan dalam dunia hiburan bukanlah semudah disangka. Ada jatuh bangun, riang duka yang ditempuhi.

“Sebenarnya, dalam apa industri sekalipun, 30 peratus kemahiran atau bakat, 50 peratus adalah kemahuan dan 10 peratus adalah tuah. Tidak kiralah, apa juga yang awak ada sekalipun, kalau tak ada semua itu, ia tidak akan menjadi.

“Perjalanan saya tak mudah. Ada bermacam-macam cabaran. Untuk berkembang lebih sukar, berbanding mengekalkan apa yang saya miliki.

“Saya juga pernah membuat kesilapan. Bila fikir balik, saya tak sepatutnya melakukan itu dan ini. Perkara itu mengajar saya untuk menjadi lebih matang,” ceritanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya