BARCELONA: Bintang antarabangsa, Shakira, 45, tampil menjelaskan tentang sekeping gambar yang menunjukkan dirinya berada di dalam ambulans sambil menangis yang tular baru-baru ini.
Penyanyi lagu Hips Don’t Lie itu menjelaskan, gambar tersebut tiada kaitan dengan perpisahannya bersama pasangan, Gerard Pique.
“Saya menerima banyak maklum balas dari peminat yang risau apabila melihat gambar tersebut.
“Saya ingin menjelaskan gambar-gambar itu diambil hujung minggu lalu (28.5.2022) setelah bapa saya terjatuh dan saya ketika itu, menemaninya menaiki ambulans menuju ke hospital.
“Mohon doakan yang terbaik untuknya dan saya berterima kasih atas kasih sayang dan sokongan anda semua,” katanya.
Penjelasan itu dibuat Shakira selepas beberapa jam mengumumkan perpisahannya dengan pemain bola sepak FC Barcelona itu.
Shakira dan Gerard berpisah selepas 11 tahun bersama. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata, Milan, 9 dan Shasha, 7.