Industri filem dan drama hanya meraikan wajah cantik dan tampan.
Bagi pengarah dan pelakon, Aziz M. Osman, perspektif tersebut adalah salah dan perlu diperbetulkan.
Katanya, teori tersebut menjadi pegangan pihak-pihak tertentu yang mengejar jualan dan keuntungan.
“Itu bukan perspektif penonton. Sebaliknya stesen TV dan penerbit. Penonton pandai menilai. Letaklah pelakon cantik dan tampan sekalipun. Kalau lakonan tak sehebat mana, mereka tolak.
“Contoh filem Zombie Kampung Pisang. Tak ada pun orang yang cantik di situ. Tapi orang tengok, mereka terhibur.
“Asal cantik, boleh jual. Itu perspektif penjual produk yang jual mimpi palsu. Dipegang mereka yang hanya memikirkan tentang jualan. Bukan penonton atau pengarah. Perspektif itu perlu diperbetulkan,” katanya.
Aziz berkata, sebagai pengarah dia mengutamakan seri dan bakat seorang pelakon. Katanya, ada daya tarikan.
“Tidak semestinya cantik. Tapi ada penarik. Orang kata, ada seri. Dia tidaklah menonjol sangat cantiknya. Tetapi serinya itu ada. Sejuk mata memandang.
“Bagi saya, orang paling buruk, kalau disolek, akan nampak cantik. Tetapi seri, datang dari dalam. Kadang kita tengok orang itu tak cantik. Tetapi, mata kita sejuk bila pandang dia.
“Contoh pelakon lama. Macam seniwati Saadiah, Zaiton dan lain-lain. Mereka tidaklah cantik yang melampau. Tetapi ada seri. Orang putih kata, pretty or beautiful,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Aziz mengakui sebagai pengarah dia tidak lari daripada berdepan kehendak stesen TV yang rata-rata mahukan pelakon cantik dan tampan sebagai barisan utama sesuatu projek drama dan filem.
Katanya, itu lumrah dunia layar perak yang terpaksa dihadap seorang pengarah.
“Saya hadapi masalah yang sama ketika berurusan dengan stesen TV. Mereka mengarahkan agar pelakon dipilih berdasarkan kecantikan dan populariti. Mahu atau tidak, saya terpaksa akur.
“Bebannya letak di bahu saya. Pelakon cantik, tetapi saya pula yang kena ajar mereka berlakon.
“Tetapi stesen TV atau penerbit tidak fikir tentang itu. Apa yang mereka utamakan adalah sama ada filem atau drama itu boleh dijual atau tidak, untung atau rugi,” jelasnya.