Konsert Search kali ini, Rockin on Rooftop, benar-benar mengimbau nostalgia 1990-an.
Paling ketara ialah lokasinya. Bertempat di ruang letak kereta terbuka (roof top) pusat beli belah Campbell di Kuala Lumpur, ia mengimbau nostalgia ibu kota dipenuhi bas mini, sewaktu Kid Search masih simbolik dengan gitar Kramer warna putihnya.
Masa berlalu pantas, kini pada 2022, kumpulan legenda rock tanah air itu tampil sekali lagi menggegar Kuala Lumpur. Apa tidaknya, seawal pukul 6.00 petang, ruang legar pusat beli belah itu sudah dipenuhi peminat yang rata-rata berusia lewat 30-an. Meskipun hujan lebat namun itu tidak melunturkan semangat peminat.
Dalam konsert kali ini, Search tampil berani dengan vokalis dari tanah seberang bernama Denden Gonjalez.
Buat yang tidak biasa dengan nama itu, Denden mula membuka mata seluruh dunia apabila mendendangkan lagu tersohor kumpulan Steelheart, berjudul She’s Gone. Jika lagu itu sudah cukup sukar dinyanyikan, cuba bayangkan apabila Denden sambil duduk bersila dan tangan memegang rokok keretek, dengan selamba ‘tarik’ lagu itu sampai habis.
DILAMAR DI BELARUS
Kata Denden sewaktu konsert berlangsung, dia dilamar Kid dan Din sewaktu di Bulgaria. Pada waktu itu, dia menghadiri uji bakat nyanyian di negara Eropah Timur tersebut, dan menerima panggilan video dari dua legenda Search.
“Tanpa fikir panjang, saya terus saja bersetuju walaupun pada masa sama, saya terkejut,” ujar Denden.
Tepat 9.50 malam, konsert yang dijadual bermula 9.00 malam itu mula membuka tirai.
Dalam kebasahan dek hujan lebat yang disusuli gerimis, peminat mula tak keruan apabila satu demi satu ahli Search naik ke atas pentas.
Paling menarik tumpuan saya semestinya otai gitar Malaysia, iaitu Kid.
Dia memang layak dinobatkan sebagai legenda. Dalam usia 55 tahun, anak kelahiran Kuala Lumpur itu kekal berstamina. Meskipun berbadan kecil, namun dia cukup bergaya dengan gitar Peavey EVH Wolfgang yang agak ‘tebal’ berbanding Kramer yang lebih ‘slick’.
Ini saja sudah cukup menampakkan seleranya yang tinggi, kerana Peavey Wolfgang ini simbolik kepada mendiang gitaris lagenda dunia iaitu Eddie Van Halen.
Din juga tak kurang menonjol. Berseluar pendek paras lutut dengan kasut sukan high cut, dia seperti biasa kekal macho dengan Epiphone merah dan kuningnya.
Begitu juga anggota Search lain, masing-masing mengawal pentas dengan lincah dan bertenaga.
Konsert dimulakan dengan juruacara majlis memberi pengenalan yang melegakan telinga peminat: “Kita bukan mahu cari pengganti Amy, tapi kita mahu meneruskan legasi”.
Serentak itu, ruang parkir terbuka Campbell digegarkan dengan lagu pembuka tirai, Bencana dari album keempat kumpulan itu iaitu Fenomena.
LEBIH 15 LAGU
Seleksi lebih 15 lagu sepanjang konsert ini memang tidak mengecewakan. Seperti kelaziman, ia dimulakan dengan lagu-lagu bertempo laju, sekali gus memberi peluang Kid bikin gitar berasap.
Misalnya, sewaktu menggoreng lagu Diari Habil dan Qabil, jelas kedengaran seketul demi seketul arpeggio yang cukup bersih bunyinya, tanpa perlu bermain laju ala Paul Gilbert.
Begitu juga dengan vokal Denden yang tidak mengecewakan. Buktinya, saat jam menganjak pukul 11.30 malam, berkumandanglah halwa telinga utama, iaitu Mentari Merah Di Ufuk Timur.
Pada waktu itu, penonton seakan-akan terpukau. Siapa sangka, vokal Denden yang husky namun nyaring, berjaya membawa lagu ini mirip versi yang asal.
Lebih memberi nostalgia kepada peminat, pentas konsert turut dikongsi Ratu Rock Malaysia iaitu Ella yang tampil dengan dua lagu iaitu Melayar Bahtera dan Bayangan.
PEMINAT YANG SEMPOI
Membuatkan konsert ini lebih nostalgik, para peminat juga sempoi dan sangat memberi kerjasama.
Meskipun Search kali ini tampil tanpa kehadiran Amy, namun tidak kedengaran kata-kata yang membandingkan antara kedua-dua vokalis. Itu sekali gus menunjukkan sifat tertib dan saling menghormati, iaitu intipati kepada jiwa rock yang sejati.
Lagi pula, ada waktunya semua di bawah pentas turut sama menyanyikan lagu-lagu yang dibawakan Denden. Pada waktu itulah, bulu roma mula meremang lebih-lebih lagi tatkala lagu Fantasia Bulan Madu dan Mentari Merah di Ufuk Timur bergema menggegarkan ibu kota.
Apapun, konsert Search Rockin on Rooftop kali ini memang memberi kelegaan buat peminat, yang selama dua tahun sejak 2020 dihambat duka akibat pandemik Covid-19.
Ia juga menjadi medan mempertemukan dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia. Semoga Search kekal berstamina untuk peminat di kedua-dua negara.