Bayaran Royalti: Freddie Fernandez minta menteri campur tangan - Utusan Malaysia

Bayaran Royalti: Freddie Fernandez minta menteri campur tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia berharap agar Menteri Kementerian Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dapat tampil membantu penggiat seni menyelesaikan masalah bayaran royalti.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, harapan itu disuarakan ekoran masalah tersebut telah berlarutan selama lebih 20 tahun dan belum menemui titik penghujung.

“Kami rasa hanya menteri yang mampu menyelesaikan masalah ini. Ia begitu rumit serta melibatkan ramai pihak yang pernah mewakili golongan artis dalam hal kutipan royalti.

“Sebelum ini semua usaha yang dilakukan untuk menetapkan satu sistem kutipan dan pengagihan bagi royalti artis tidak berhasil,” katanya.

Freddie berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikongsi kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Untuk rekod, Pada tahun 2000, Akta Hakcipta telah dipinda bagi melindungi hak penggiat seni berkaitan hal ehwal penerimaan royalti.

Susulan itu, Performers and Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) ditubuhkan untuk mewakili artis dalam hal ehwal kutipan royalti.

Bagaimanapun, selepas sepuluh tahun beroperasi, Prism ditutup kerana tidak lagi dapat melakukan kutipan royalti apabila Public Performance MKalaysia (PPM) membatalkan kontrak untuk membuat kutipan bagi pihak Prism.

Selepas itu, dua badan baru, Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (Prism) dan Recording Performers Malaysia (RPM) ditubuhkan untuk mengendalikan hal ehwal yang sama. Malangnya kedua-dua badan tidak berfungsi dengan baik gara-gara tentangan daripada pengguna muzik.

Menurut Freddie lagi, kerajaan pada 2016 telah mencadangkan agar keempat-empat badan, Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), PPM, Prism dan RPM digabungkan di bawah satu syarikat iaitu Music Rights Malaysia Bhd (MRM).

Katanya MRM menjadi badan tunggal yang membuat kutipan (royalti) dengan satu formula perkongsian royalti yang ditetapkan kerajaan.

“Pada tahun 2017 keadaan jadi rumit lagi apabila Prism Bhd. telah diarahkan tutup oleh mahkamah kerana gagal melunaskan gantirugi kepada PPM selepas badan tersebut melanggar hakcipta.

“Perkembangan itu membawa masalah besar kepada lebih 1000 ahli Prism kerana tidak ada lagi badan yang mewakili mereka dalam hal ehwal kutipan royalti. MRM pula ditutup pada 2020. Ahli-ahli Prism masih berharap agar royalti yang dikutip sebelum badan itu ditutup, dibayar kepada mereka. RPM pula telah menerima bayaran hasil kutipan dari MRM namun sehingga kini belum mengagihkan dengan sepenuhnya.

“Kami berharap Alexander dapat campur tangan untuk bantu menyelesaikan masalah ini menerusi kaedah baharu di mana semua artis, tak kira ahli Prism atau RPM, disatukan dan karya-karya mereka dilindungi,” tambah beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya