Untuk saya, hidup bersosial itu tidak ada - Malek Noor - Utusan Malaysia

Untuk saya, hidup bersosial itu tidak ada – Malek Noor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Datuk Malek Noor merupakan seorang figura yang disegani dalam sukan bina badan.

Beliau adalah ikon yang menjadi inspirasi buat ramai anak muda yang menceburi sukan yang sama.

Pembabitan awal dalam dunia sukan bukanlah sebagai atlet bina badan. Beliau satu masa yang lalu aktif bermain bola sepak sewaktu berkhidmat sebagai anggota polis di Johor Pada 1973. Ketika itu usianya mencecah 20 tahun.

Kemudian, beliau berhenti berkhidmat (polis) pada 1974 dan mula berjinak-jinak dalam dunia angkat angkat berat secara suka-suka sebelum terbang ke Amerika Syarikat (AS).

“Ketika itu menetap di kampung, Batu Pahat sementara menunggu kelulusan visa untuk ke AS.

“Pada tahun yang sama, saya dapat pergi ke AS. Menetap di sana selama enam tahun untuk menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan dan perniagaan.

“Di sana, saya rajin ke gimnasium. Buat suka-suka. Tak ada latihan dan tidak mengikuti apa-apa program,” kongsinya.

Kata Malek, beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang ahli bina badan. Selepas enam tahun di AS, beliau pulang ke Malaysia dan mula berlatih secara serius, sedikit demi sedikit.

“Pada tahun 1980 saya pindah ke Hong Kong, ditawarkan untuk menguruskan sebuah gimanisium ternama di sana. Ada satu ketika itu saya pulang sekejap ke Malaysia untuk menyaksikan pertandingan Mr. Universe yang berlangsung di Singapura.

“Saya melihat peserta dari Malaysia kebanyakannya bertubuh kecil. Antara yang mewakili negara ketika itu adalah Allahyarham Bujang Taha.

“Saya bertekad, kembalinya ke Hong Kong, saya nak belajar pemakanan dan ikuti program bina badan. Saya berazam mewakili negara. Satu tahun lebih saya berlatih. Ubah gaya hidup, tukar pola pemakanan,” katanya.

Pada tahun 1983, Malek pulang ke tanah air. Pertandingan bina badan pertama disertainya adalah dianjurkan di Terengganu. Ketika itu, beliau berusia 24 tahun.

Buang piala tanpa sesal
Kejohanan Mr. Asia pada tahun 1991 itu adalah pertandingan terakhir yang disertai anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini.

Katanya Malek, sejurus selepas itu, beliau nekad untuk berubah, meninggalkan dunia bina badan yang diceburi sekian lama.

“Saya nekad. Selepas pulang ke tanah air, saya mahu berhijrah. Sukan ini mendedahkan aurat. Sampai masa, saya rasa malu dan bersalah. Jadi, saya nekad tinggalkan dunia bina badan,” kongsinya.

Cerita Malek lagi, dia enggan mengenang cerita lama. Justeru, semua trofi dan piala kemenangan dibuang begitu sahaja tanpa sekelumit penyesalan.

“Saya tidak simpan. Berkaitan bina badan saya tak mahu simpan. Saya rasa bersalah. Semua piala saya buang.

“Saya tidak mahu kenang, tidak mahu simpan benda-benda yang mengingatkan saya sejarah lama. Benda yang tak betul.

“Apa hukumnya, engkau menang, ucap syukur kepada Allah SWT. Tetapi ketika mengucapkan kesyukuran itu, engkau berseluar dalam. Sukan adalah sukan, agama tetap agama,” luahnya.

Kejang otot hampir meragut nyawa

Bukan mudah menjadi seorang ahli bina badan. Atlet jenis ini juga berdepan pelbagai risiko yang adakalanya boleh maut.

Bagi Malek, beliau tidak terkecuali. Antara yang paling memberi kesan adalah ketika dia diserang kekejangan otot yang kronik sekitar 31 tahun lalu. Insiden disebabkan kurang pengambilan air.

“Pernah berdepan detik cemas ketika bertanding untuk kejohanan Mr. Asia di Korea Selatan sekitar tahun 1991.

“Saya diserang kekejangan otot yang boleh membawa maut dari paras perut sehingga ke kaki.

“Ketika itu saya sedang menunggu giliran untuk beraksi. Nasib baik saya ketika itu sedang berbaring. Saya segera minum air. Alhamdulillah keadaan tersebut pulih sedia kala,” ceritanya.

“Itu pengalaman paling cemas sepanjang hidup saya. Saya khuatir, keadaan itu boleh membawa maut kerana melibatkan jantung.

“Ramai atlet bina badan meninggal dunia kerana masalah yang sama. Sebab itu saya katakan, atlet bina badan berdepan banyak risiko keselamatan,” katanya lagi.

Korban usia muda
Dalam wawancara yang berlangsung hampir satu jam setengah, berkali-kali Malek Noor mengingatkan.

Sukan bina badan, memerlukan disiplin dan kesungguhan. Seperti juga sukan-sukan yang lain. Justeru, keseronokan usia muda itu terpaksa dikorbankan.

“Semua adalah pada tahap 100 peratus. Disiplin, latihan dan kesungguhan. Makan, tidur semua perlu dijaga rapi.

“Rehat adalah perkara paling penting. Kerana ketika latihan, kita menggunakan keupayaan tubuh sepenuhnya. Jadi, untuk saya, hidup bersosial itu tidak ada.

“Tengok wayang, berteman wanita, bersosial itu tidak ada untuk saya. Bina badan adalah kehidupan. Saya hidup sebagai atletnya,” katanya.

Kata Malek lagi, bina badan adalah pelaburan hidup yang melibatkan masa dan komitmen. Katanya, atlet yang berjaya, tumpuan mereka hanya pada sukan yang diceburi.

“Untuk menjadi ahli sukan yang baik, seseorang itu perlu hidup sepertinya. Itu ada satu pelaburan yang memerlukan pengorbanan.

“Kena pandai pilih kawan. Bersosial itu bukan pilihan. Merayap sana sini.

“Sebab itu saya katakan. Rehat yang secukupnya adalah yang paling utama. Ketika itulah tubuh pulih semula. Jadi, kehidupan saya, berlatih balik rumah dan rehat. Itu sahaja,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya