Ulang alik Ipoh-KL demi cinta, Ainaa tak kisah. - Utusan Malaysia

Ulang alik Ipoh-KL demi cinta, Ainaa tak kisah.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka gadis yang pernah dinobatkan Naib Juara Gadis Panca 2017 dulu, Nur Ainaa Azhari, 23 kini sedang meningkat nama dalam dunia hiburan negara kita.

Ainaa Azhari yang ketika itu berusia 18 tahun berjaya merentap tempat kedua menewaskan hampir 3,000 peserta dari seluruh negara! Pertandingan anjuran Mingguan Malaysia itu bertujuan untuk mencari bakat baharu dalam dunia hiburan sebagai pelakon dan pengacara.

Selain menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 serta tiket melancong ke Australia, Ainaa turut berjaya mendapatkan kontrak lakonan dengan syarikat A.Aida Production.
“Alhamdulillah, kejayaan ini merupakan permulaan saya masuk ke dalam industri seni secara aktif.

“Apa yang penting, saya buat semua ni bukanlah semata-mata untuk meraih populariti tetapi minat yang mendalam sejak dari kecil lagi,” jelas Ainaa yang kini sedang melanjutkan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Kolej Segi, Kuala Lumpur.

Minat Ainaa terhadap seni sangat luar biasa. Dia sanggup berulang-alik dari rumahnya di KL ke Universiti Antarabangsa Quest di Ipoh.

“Selama setahun, KTM-ETS lah menjadi tempat tidur saya memandangkan saya perlu berulang alik dari KL ke Ipoh bagi menyelesaikan rakaman filem Ratu Kala Jengking pada 2018 dulu.

“Sampai Ipoh jam 4 pagi, kemudian masuk ke kelas jam 8 pagi. Habis sahaja kelas saya terus bergegas pulang semula ke KL dan tiba pada jam 5 atau 6 petang. Penat memanglah sangat penat tetapi dalam memenuhi cita-cita saya sebagai pemain seni, saya tak kisah,” katanya.

Begitupun, mungkin ramai tertanya-tanya tentang sosok gadis ini yang masih tidak begitu menonjol sebagai salah seorang pelakon di negara ini. Menurut Ainaa, dia tidak begitu aktif dalam sosial media kerana sibuk menumpukan terhadap pelajarannya dan lebih gemar bertemu secara bersemuka dengan orang lain.

Dalam erti kata lain, dia lebih selesa tidak terus menonjol secara drastik, sebaliknya membiarkan masa yang menentukannya.

Siri drama televisyen Suamiku Lelaki Pendosa yang ditayangkan pada tahun ini merupakan antara pengalaman terbesarnya dalam industri seni tanah air. Pengalamannya dapat bergandingan dengan artis tersohor seperti Aaron Aziz dan Gambit Saifullah dalam drama ini sudah tentu sangat berharga terutamanya dalam meningkatkan kualiti lakonannya.

Komunikasi yang baik merupakan antara faktor utama untuk sesiapa sahaja yang ingin berkecimpung dalam industri ini. Namun sebagai seorang introvert, bukan mudah untuk Ainaa berinteraksi dengan orang-orang baharu dan itulah cabaran utamanya sewaktu awal-awal dulu masuk ke dalam dunia seni ini.

“Saya cuba ubah cara saya secara perlahan-lahan. Awal-awal tu memanglah kekok, segan nak bertegur sapa tapi nak tak nak saya kena berubah. Alhamdulillah, sejak dari itu saya sudah menjadi semakin berani untuk bergaul dengan sesiapa sahaja.

“Ternyata ramah dan merendah diri merupakan antara faktor untuk kita pergi lebih jauh dalam dunia seni. Kita tak boleh memandang rendah pada sesiapa pun termasuklah krew dan kawan-kawan artis sendiri! Katanya.

Ketinggian 173 sentimeter membolehkan Ainaa berkecimpung dalam dunia modelling. Hingga kini sudah lebih 30 penggambaran iklan dijayakan Ainaa, antaranya Maxis, Samsung dan Uniqlo.
Gadis campuran Siam-Melayu ini turut menjelaskan salah faham masyarakat terhadap dunia modelling.

“Siapa kata kalau cantik terus dapat kerja sebagai seorang model? Nak jadi model bukan sahaja pada kecantikan paras rupa atau ketinggian, syarikat juga akan melihat kemampuan kita berjalan menggunakan kasut tumit tinggi enam sentimeter.

“Banyak kali kaki saya terseliuh, itu belum lagi dengan syarat-syarat lainnya seperti kemampuan bertutur dan kemahiran lainnya,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya