KUALA LUMPUR: “Terima kasih untuk satu nyanyian yang penuh dengan rasa,” Itu reaksi pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu terhadap penyanyi, Aina Abdul saat membawakan lagu Ke Hujung Dunia yang dipopularkan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.
Penghargaan dan ucapan terima kasih itu ditulis Shuib di ruang komen pada sekeping gambar yang dimuat naik Aina di Instagramnya.
Aina yang tampil dalam persalinan serba putih mempersembahkan lagu berkenaan dengan penuh penghayatan sebagai tribute buat penyanyi kesayangan ramai itu pada Anugerah Meletop Era (AME 2021) yang menutup tirainya, malam tadi.
Selain itu, penyanyi, Misha Omar menyentuh perasaan penonton apabila membawakan lagu Bersamamu yang juga dipopularkan oleh Allahyarham.
Misha yang gagal menahan sebak, menitiskan air mata di akhir persembahan tersebut.
Penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta itu menerusi Instagramnya menyifatkan dedikasi tersebut sebagai satu persembahan yang ‘berat’ untuknya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Astro dan seluruh produksi AME 2021 kerana bagi peluang kepada saya untuk membuat persembahan dalam segmen yang sangat berat sebenarnya untuk saya.
“Tapi saya cuba laksanakan sedaya upaya supaya tidak rosak. Saya nak menyanyi, teriak itu memang banyak sahaja.
“Terima kasih banyak-banyak di atas sokongan engkau orang. Insya- Allah ada rezeki kita jumpa lagi,” katanya.
AME 2021 menyaksikan penyanyi, Shiha Zikir menang besar dan mendominasi dengan membawa pulang lima anugerah termasuk anugerah Top Top MeleTOP Wanita.
Shiha pada malam semalam turut membawa pulang empat anugerah lain termasuk Artis Versatil MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP serta dua anugerah yang dimenangi bersama penyanyi rap, Noki iaitu Duo MeleTOP dan Lagu MeleTOP Era.
Sementara itu, penyanyi, Khai Bahar juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila merangkul anugerah Top Top MeleTOP Lelaki selain dua anugerah lain termasuk Penyanyi MeleTOP dan Program MeleTOP.