USIA kerjaya muzik Loque sebaya saya – 29 tahun. Tekad untuk bermuzik secara serius Khairil Ridzwan Annuar bermula pada tahun itu, ketika saya belum punya kesedaran dan ingatan.
Namun, jurang waktu itu tidak buat saya janggal pada sosok ini. Sejak pertama kali jatuh hati pada alunan Mati Hidup Kembali, saya meneroka muzik Butterfingers secara mengundur: dari Kembali ke Selamat Tinggal Dunia, kemudian Malayneum, Transcendence sehingga bertemu akar grunge mereka di 1.2 Milligrams.
Loque sebagai gitaris dan komposer utama Butterfingers punya peranan besar dalam perkembangan muzik bawah tanah Malaysia, walaupun mungkin tidak disedari ramai. Tidak sepenuhnya bergerak secara underground kerana mereka di bawah syarikat rakaman, namun muzik alternatif Butterfingers menyuluh jalan untuk banyak kugiran independen.
Saya perlu berterima kasih pada Loque yang banyak berjasa membentuk selera muzik saya. Saya boleh namakan sekurang-kurangnya tiga kugiran yang telah, sedang dan bakal menjadi inspirasi kepada kugiran lain, yang terinspirasi oleh album Selamat Tinggal Dunia, iaitu Hujan, Iqbal M. dan A. Limin.
“Saya tak pernah jangka Selamat Tinggal Dunia beri impak sebesar itu sebab masa album itu keluar, sambutannya kurang. Tak macam sewaktu Transcendence keluar. Malayneum pun sambutannya lebih meriah.
“Selamat Tinggal Dunia ini album Butterfingers pertama yang saya terbitkan sendiri. Prosesnya panjang sebab waktu itu, sebagai penerbit, saya kurang disiplin. Akhirnya terpaksa pinjam duit bapa untuk habiskan juga.
“Noh (Hujan) pernah cakap, album itu yang membuatkan dia tidak terus jadi penyanyi hip hop. Pada saya, itu penghargaan yang lebih dari apa saja anugerah. Orang terinspirasi, kemudian dia pula yang menginspirasi,” kata Loque dalam sembang panjang kami di Jalan Telawi.
Bangsar menjadi saksi usaha Loque untuk keluar dari kegelapan jiwa sepanjang proses menyiapkan Selamat Tinggal Dunia. Dia berlari seorang diri untuk meleraikan kekusutan akibat kesilapan-kesilapan yang dilakukan.
Krisis eksistensial yang membelenggu ketika itu ditumpahkan dalam karya. Lagunya marah-marah. Kayangan dikritik, media disembur. Berontak seninya menjadi tanda masa perkembangan diri.
Saya tanyakan, bagaimana transisi diri Loque dari baris hadapan kugiran yang mengkritik kayangan sehingga kini, mencipta lagu untuk pertabalan Yang di-Pertuan Agong?
“Masa itu kita memberontak, anggap semua benda tak adil. Jadi ada lagu yang saya buat, terlalu jujur pun ada.
“Sekarang saya masih neutral. Tak terlampau anti-establishment atau anarki. Tapi saya tak juga terlalu ‘kanan’ atau konservatif. Saya cuma pentingkan jati diri, identiti.
“Saya ada hasilkan album Jangan Puja Sampai Kecewa. Banyak maksud tersirat dalam album itu, boleh kaji,” jelasnya.
Loque yang tidak ramai kenal
Di sebalik perwatakannya yang rendah diri dan santai, Loque sebenarnya sudah mencipta banyak kejayaan dalam muzik. Katalog muziknya hampir lengkap: ada lagu raya, lagu merdeka, lagu tema pertandingan sukan dan lagu khas untuk pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Kolaborasinya juga bukan calang-calang.
Pernah berpadu suara dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan legenda muzik klasik, Kassim Masdor.
Namun, tidak ramai yang tahu kegiatan muzik Loque selain sebagai vokalis kugiran. Loque juga agak prolifik sebagai pengarah muzik untuk filem dan telefilem. Hasil kerjanya boleh ditemui dalam filem Songlap, Redha, Kami Histeria dan beberapa filem lain.
“Kursus yang saya ambil di Berklee dulu hampir sama dengan penskoran filem, tentang orkestra, serious music. Subjek pun banyak yang sama. Jadi, saya ada sedikit ilmu itu cuma pada awalnya tiada pengalaman.
“Skor filem pertama yang saya buat ialah Songlap. Waktu itu saya sangat banyak belajar dari pengarah filem itu, Effendee Mazlan. Itu juga skor yang paling saya suka.
“Skor filem seronok sebab tak ada sempadan. Kalau dalam muzik, melodi itu raja. Dalam filem, visual raja. Muzik tak boleh berlebih-lebih, muzik perlu jadi hamba pada visual,” ujarnya.
Loque juga berpengalaman sebagai penerbit untuk beberapa kugiran, termasuk lagu-lagu kolaborasinya bersama artis lain. Di Malaysia, peranan penerbit tidak begitu dihargai namun peranannya amat penting dalam penghasilan sesebuah lagu.
“Penerbit seperti pengarah filem. Dia yang buat keputusan tentang susunan dan sebagainya. Walaupun lagu itu ada penyusunnya sendiri, penyusun perlu ikut kata penerbit. Ada penerbit yang beri kebebasan kepada artis. Saya pernah guna cara sama tapi akhirnya terpaksa ambil peranan yang lebih.
“Untuk jadi penerbit, paling penting disiplin. Saya sendiri pun lebih 20 tahun belajar nak jadi penerbit yang baik,” katanya.
Loque kini dalam proses penghasilan album terbaharu Monoloque, dengan bantuan rakan-rakan pemuzik yang baharu. Haluannya lebih komersial dan ringan. Sesuatu yang saya sendiri pun tidak pasti akan dapat dicapai olehnya atau tidak.
“Saya dah banyak bereksperimen dalam album-album sebelum ini. Album baharu ini juga satu eksperimen. Orang biasa anggap, jika eksperimen bermakna kita cuba bunyian yang rumit dan berat. Tapi saya dah buat semua itu sebelum ini. Ini masa untuk saya cuba album yang lebih ringkas.
“Mozart pernah kata, nota terbaik dalam muzik ialah rest (simbol dalam notasi muzik yang menandakan kesenyapan). Jadi, eksperimen seterusnya mungkin saya cari dalam kesenyapan dan keringkasan,” terangnya.
Bertemu kewujudan diri
“Apa yang istimewa dengan muzik Melayu?” saya menduga Loque. Pandangannya dilempar ke jalan raya yang kosong seketika.
“Saya jumpa diri. Jati diri saya, kewujudan saya. Sebelum Monoloque, saya memang dah ada fasa menggali muzik Melayu. Sebab itu dalam Chrome, ada sampel lagu Ikan Kekek. Waktu itu, walaupun buta muzik, saya dah cuba menggarap khasiat dalam lagu P. Ramlee contohnya, masuk dalam lagu Epitome,” kata Loque.
Agak ironi sambungan ceritanya kerana menurut Loque, dia berjumpa keindahan muzik Melayu dalam aspek teknikal ketika menuntut di Berklee College of Music, Amerika Syarikat. Walaupun berguru dengan maestro muzik dari Itali dan Rusia, dia sentiasa berusaha membongkar rahsia muzik Melayu di sana.
“Saya pergi sana untuk ‘curi’ rahsia mereka, masukkan dalam muzik kita. Saya tak rasa sewaktu main muzik Barat dulu, saya janggal. Tapi saya jumpa kewujudan, rempah ratus dan cop mohor saya dalam muzik Melayu,” katanya.
Loque mencipta magis apabila berhasil memadukan muzik tradisional Melayu dengan moden. Bukan dia seorang yang buat begitu. Alena Murang dan Salammusik juga sangat konsisten berkarya dengan sentuhan tradisional. Bakat arus perdana seperti Hael Husaini, Bunga Isme dan Floor 88 juga ada mencuba.
Namun, yang istimewanya karya Loque di mata saya, dia berhasil membawa bersama semangat dan suasana zaman dalam muziknya. Kelapangan dan kesunyian zaman dahulu diwakili alunan gamelan dan lenggok nyanyian yang mendayu. Kebingitan dan kesempitan zaman kini ditanda efek instrumen dan ketuk dram rumit. Kedua-dua digabung menjadi lakuran muzik yang tersendiri.