PETALING JAYA : Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini bagi mendengar sebutan semula kes penyanyi Yasin Sulaiman selain menyatakan solidariti buat penyanyi dan komposer itu.
Syed Saddiq juga sempat bersua muka dengan penyanyi lagu Mimpi Laila sebelum memasuki Mahkamah Majistret.
Berkongsi keadaan terkini Yasin, Syed Saddiq gembira berkata wajahnya nampak tenang dan ceria.
“Tadi sempat berjumpa dengan saudara. Dia berada dalam keadaan tenang, yakin dan boleh lihat keceriaan di mukanya saya rasa. Hatinya berada di tempat yang betul,”katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq memberitahu kehadiran dia juga ingin memberikan sokongan moral kepada komposer terbabit dan keluarganya.
“Saya hadir untuk memberikan sokongan moral kepada saudara Yasin dan keluarganya.
“Sebagai penggubal undang-undang saya bertanggungjawab untuk memastikan bahawa undang-undang negara itu mengikut perkembangan arus semasa,”katanya.
Pada 25 Mac lalu, media melaporkan polis menahan penyanyi nasyid kerana disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara.
Ekoran itu, pada 31 Mac, penyanyi itu yang didedahkan identiti sebagai Yasin kemudian dilaporkan bakal berdepan hukuman mati akibat perbuatannya.