RUNS yang tersendiri - Utusan Malaysia

RUNS yang tersendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA mula kenal RUNS dari jauh dahulu, sekadar mendengar nama mereka disebut-sebut oleh rakan-rakan. Kemudian, mereka menyertai Anugerah Lagu Indie (ALI) 2021. Lagu mereka, Kamar, berjaya layak sehingga ke peringkat akhir.

ALI melonjakkan nama RUNS tinggi. Walaupun tidak berjaya mendapat tempat, mereka menambah ramai peminat melalui penampilan dalam ALI. Lagu Kamar menyerlahkan kekuatan RUNS sebagai sebuah kugiran, iaitu keaslian. Lagunya kedengaran lazim tetapi ada elemen-elemen baharu yang dibandung menjadikan ia segar dan tidak banal.

Tiga fasa

Bercerita tentang sejarah RUNS, Hawari Rashid (vokal) membahagikannya kepada tiga fasa. Pertama, fasa mencari-cari identiti yang disebut sebagai pra-RUNS. Ketika ini, mereka aktif membuat persem­bahan namun kebanyakannya lagu-lagu saduran. Ahli ketika itu hanya Hawari dan Luk Ahmad (gambus).

Yang mengejutkan, RUNS sudah tertubuh sejak 2009. Mereka melalui tempoh yang panjang untuk mencari kesepaduan dan identiti. Luk menggunakan analogi memasak. RUNS ialah makanan yang dimasak perlahan. Dari pra-RUNS kepada RUNS dan kini RUNS yang berevolusi, mereka akhirnya cukup masak untuk dikunyah para peminat muzik Malaysia.

Kini mereka berenam. Hawari, Luk, Alang Noor (rebana), Hafifi Ramli ( dram), Iqbal Ramli (bass) dan tambahan terbaharu, Nabil Asyraf (gitar). Kehadiran Nabil ketika ALI2021 memberi ruang untuk Hawari melepaskan gitar dan fokus kepada vokal. Nabil juga kepingan puzzle terakhir yang menyempurnakan bunyi RUNS.

Kini, mereka bersedia untuk mempersembahkan karya kepada semua pendengar. Lagu-lagu dalam demo pertama akan dikongsikan melalui platform digital. Kesemua lagu dalam demo tersebut juga akan dirakam semula, insya-Allah menjadi album suatu hari nanti.

Identiti yang eksotik
“Bila orang cakap RUNS bawa muzik yang baharu, dia bukanlah baharu sebenarnya. Ia cuma tak didendang,” kata Hawari. “Ia dilupakan,” sahut Luk.

Ada benarnya kerana RUNS cuma mengangkat semula elemen-elemen muzik tradisional Melayu seperti ghazal dan inang kemudian dipersembahkan dengan jiwa baharu, dengan sikap anak muda. Ia dilihat janggal kerana muzik tradisional itu selama ini hanya dimainkan dalam majlis-majlis rasmi.

“Kalau di United Kingdom, muzik klasikal itu biasa. Tapi bawa ghazal, jadi pelik dan unik. Di Amerika Syarikat pun, kalau main blues itu biasa. Bawa ghazal atau zapin, dia pelik dan unik.
“Tapi di Malaysia, bawa klasikal dan blues pun biasa. Bawa ghazal itu pula unik. Dia dah terbalik,” kata Luk.

Begitulah hakikatnya di Malaysia. Muzik tradisional bersifat kemajlisan. Pernah juga menembus ruang popular hasil usaha arwah Pak Ngah dan beberapa komposer dahulu tetapi ia kembali langka dalam tempoh beberapa dekad ini. Ini kesan globalisasi yang tidak berbendung: identiti bangsa sendiri dilihat eksotik.

Cabaran menjadi asli

Hampir setiap kugiran boleh dipetik inspirasi utamanya. Kebanyakan kugiran juga bermula dengan meniru. Namun untuk RUNS, ia menjadi cabaran kerana mereka memilih untuk membawakan muzik yang unik.
Menurut Luk, mereka mengambil inspirasi yang sangat luas julatnya: dari SM Salim, Kembara, The Beatles, Pink Floyd sehingga Rammstein.

Setiap ahli RUNS juga mempunyai pengaruh muzik yang berbeza. Nabil meminati permainan gitar soul dan R&B, Hafifi berjiwa hardcore dan metal, Luk merentas semua muzik popular dalam pasaran alternatif dan Hawari lebih arus perdana, termasuk punya fasa mendengar karya M. Nasir secara mendalam.

Campuran pengaruh ini menjadikan RUNS unik dan tersendiri. Mereka akhirnya memilih muzik yang mereka namakan sebagai Rock Psikedelik Malaysiana.

Mahu gembira
Perjalanan panjang RUNS buat mereka sedar, kerja muzik yang dilakukan ini matlamat akhirnya ialah kepuasan. Dalam ekosistem muzik Malaysia, mengejar keunggulan berkemungkinan besar berakhir dengan kekecewaan.

Mereka hanya mahu bergembira menghasilkan muzik. Apabila muzik diterima dan dihargai, ia kemuncak kepuasan yang ingin dikejar.

Seterusnya, mereka berhasrat untuk menghasilkan satu lagi versi RUNS, iaitu RUNS tradisional. Untuk versi ini, mereka akan memainkan lagu-lagu tradisional dan berkongsi karya itu di platform digital.

“Semasa mula-mula RUNS mainkan gambus dengan overdrive, bunyi-bunyi yang kasar, ada yang kata tak boleh main macam itu. Sebab itu Alang beri idea untuk RUNS tradisional.

“Kita bukan nak pisahkan muzik baharu dengan tradisional, cuma tak mahu orang bergaduh sebab ini. Alang-alang dah ada anak muda yang berminat dengan muzik kami, kami cuba didik dengan cara ini, supaya ia boleh dikaji,” jelas Hawari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya