LUMRAH bergelar artis pasti akan menjadi titik tumpuan ramai. Segala gerak-geri diperhatikan.Justeru, apa sahaja perbuatan oleh artis berkenaan kenalah berhati-hati. Jika buruk, mungkin parahlah hasilnya. Tetapi, lain pula ceritanya dengan bintang genit seorang ini, Ruhainies.
Biarpun sebelum ini terbuka dengan perkongsian dilamun cinta, Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 30, mengambil pendekatan untuk tidak lagi berkongsi mengenai cerita peribadinya itu.
“Sebelum ini saya sudah keluarkan kenyataan di mana saya sudah tidak mahu berkongsikan tentang kisah cinta sehinggalah saya sudah ada tarikh tetap perkahwinan.
“Jangan risau saya akan kongsikan kepada semua peminat. Buat masa sekarang ini tak ada lagi good news.
“Saya dah belajar menerusi pengalaman lalu, sebenarnya lebih banyak keburukkan daripada kebaikkan. Contohnya, segelintir netizen sekarang ini suka timbulkan spekulasi sendiri,” luahnya.
Menyelami hati gadis yang pemurah dengan senyuman ini, dia mengakui berasa tidak selesa kerana lebih banyak cerita tidak sedap didengar.
“Sebenarnya saya tidak selesa, tapi kalau saya tidak kongsi tidaklah juga perkara seumpama itu timbul juga.
“Namun saya fahamlah juga, sebagai seorang yang dikenali mesti tidak akan lari di mana, ada-ada sahaja yang cuba pertikaikan, dan komen pada diri kita. Pendek kata, menjadi tumpuan khalayak bukan?” luahnya.
Untuk rekod, Ruhanies sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk menamatkan zaman bujang bersama kekasih hatinya yang dikenali Mr E. Johan selepas kakaknya, Risteena Munim berkahwin.
Bergandingan dengan Nazim Othman
Dalam perkembangan terkini, Ruhainies sedang menjalani penggambaran drama bersiri romantik komedi, Sorry Naik Lorry yang akan bersiaran pada tahun ini menerusi penstriman digital iQiyi.
Antara barisan pelakon yang terlibat sama selain Nazim Othman ialah Sheila Mambo, Farouk Hussain, Nafiz Muaz, Tajul dan ramai lagi.
Berkongsi mengenai gandingan kali pertama berlakon dengan Nazim, Ruhainies akui dia berasa teruja. Baginya, dia sudah lama mahu bekerjasama dengan aktor itu kerana di sepanjang kariernya banyak berlakon dengan hero lain seperti Aidit Noh, Redza Rosli, Zul Ariffin dan ramai lagi.
“Saya rasa seronok sangat sebab memang sudah lama nak bekerjasama dengan Nazim.
“Antara sebab lain, saya suka tengok macam mana dia in-character (mendalami watak) dan menyampaikan rasa kepada penonton dengan baik.
“Bagi yang selalu menonton drama, mesti tahu Nazim sudah banyak melakonkan pelbagai karakter dalam genre serius dan kali ini genre komedi pula,” jelas Ruhainies yang pernah menonton lakonan Nazim menerusi drama bersiri Takdir Yang Tertulis.
Dalam perkongsian bersama Utusan Malaysia, Ruhainies turut belajar seperkara penting dalam karier sebagai seorang artis daripada Nazim.
“Apa sahaja masalah yang dihadapi, jangan sesekali kongsi media sosial dan tunjuk. Tidak semua orang pedulikan diri kita ini dan jaga diri sendiri.
“Kalau ada hal negatif jangan terlalu ambil serius sangat. Anggap sahaja seperti angin berlalu pergi. Bagi saya Nazim ada sikap sabar yang tinggi,” katanya.