Rezeki masing-masing - Hattan

Rezeki masing-masing – Hattan

hattan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Datuk Hattan menyifatkan penganjuran konsertnya, Hattan 35 Years Journey yang bermula pada 4 Jun, iaitu tarikh yang sama dengan Konsert Search Endemik bukan isu besar.

Beliau yang ditemui baru-baru ini meraikan hal tersebut sebagai satu perkara positif yang ada kelebihan dan kelemahannya.

“Sebenarnya, bagus untuk industri. Sebab, kita sudah mula meriah dengan penganjuran konsert.

“Cuma dalam pertembungan (tarikh) itu, crowd kami lebih kurang sama.

“Apa pun, rezeki masing-masing. Semoga kedua-dua konsert ini berjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas tentang perasaannya terhadap situasi tersebut, Hattan memberitahu dia tidak terkilan sama sekali meskipun tarikh tersebut lebih awal dipilih pihaknya sebelum ini.

“Cuma saya hairan. Kenapa tidak anjak atau apa? Tetapi iyalah, semua terpulang kepada penganjur.

“Pada saya, lebih baik ada penjarakan (tarikh). Ada kompromi,” ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Mahligai Syahdu ini menegaskan pihaknya akan tetap memantau dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dititik beratkan sepanjang konsertnya berlangsung pada 4 dan 5 Jun depan.

“Kalau boleh, SOP dikekalkan. Kita baru dapat pelepasan untuk menganjurkan konsert.

“Tak mahulah kerana ada kes (Covid-19), kita dihalang lagi untuk membuat konsert. Artis baru nak hidup balik.

“Jadi saya harap SOP dijaga ketat dan keadaan penonton pada konsert saya nanti tidak terlalu sesak,” jelasnya.

Konsert Hattan 35 Years Journey bakal berlangsung pada 4 dan 5 Jun ini bertempat di Planery Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.

Pada konsert itu nanti, Hattan bakal mempersembahkan 22 lagu termasuk rangkaian lagu-lagu hits seperti Memburu Rindu, Dari Kekasih Kepada Kekasih, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu dan banyak lagi.

Tiket boleh dibeli di laman web https://ilassotickets.com/event/hattan-35-years-journey/ pada harga RM188 (upper tier), RM388 (silver), RM488 (gold), RM788 (diamond) dan RM988 (platinum). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya