DUNIA ini kejam. Ya, itulah hakikatnya. Dalam dunia, bukan semua yang kita mahu kita dapat dan bukan segalanya akan berlangsung mengikut aturan fikiran kita. Untuk hidup dalam dunia yang kejam, kita perlu beradaptasi, rajin berusaha dan tekal semangat.
Saja buka artikel dengan pesan yang deep. Tak ada apa sangat pun yang saya mahu tulis sebenarnya. Cuma mahu berkongsi sedikit pengetahuan dengan kugiran dan artis di luar sana untuk menonjolkan diri mereka dalam media.
Beberapa kali juga saya menemui catatan-catatan kecewa dari rakan-rakan lapangan muzik independen tentang ketidakadilan. Ada tuduhan kronisme juga dilemparkan. Saya di sini bukan mahu berbahas, cuma mahu mencadangkan alternatif. Bak kata Ahmad Faris, kurangkan mengeluh, banyakkan berpeluh. Jadi, saya mahu mengajak anda semua berpeluh.
Realiti media
Hampir semua media di negara ini bergerak sebagai sebuah entiti perniagaan. Sasaran nombor satu mereka ialah keuntungan. Ini biasa kerana perniagaan mengeluarkan modal dan mereka perlu berusaha mendapatkan pulangan modal serta keuntungan untuk terus hidup dan membayar gaji para pekerja.
Ini menyebabkan para karyawan independen sukar mendapat tempat dalam media-media arus perdana. Kolam peminat yang kecil tidak dapat memberi pulangan kepada laporan yang dibuat. Namun tanggungjawab untuk membangunkan industri tetap ada. Sebab itu, artis-artis kecil juga kadang kala diberi ruang dalam media. Persoalannya, bagaimana anda sebagai karyawan yang kecil mahu menembusi ruang terhad yang ada dalam media-media ini?
Profil
Ini amalan biasa. Banyak kugiran yang saya lihat menyertakan profil mereka dalam setiap siaran media yang dikeluarkan. Namun, ada juga yang tak buat.
Profil penting untuk memperkenalkan anda kepada penulis atau editor. Ia juga memberikan idea kepada penulis. Bagaimana saya mahu menulis tentang anda jika tak kenal pun siapa anda, siapa ahli dalam kugiran dan apa karya yang telah dihasilkan? Kumpulkan segala maklumat tentang kugiran dalam profil. Jangan terlalu panjang. Cukup masukkan maklumat penting dengan padat.
Gambar
Gambar ialah elemen penting dalam penghasilan sesebuah artikel, baik secara bercetak atau digital. Jika ada rilisan baharu dan mahu hebahan, sertakan juga gambar yang bersesuaian, baik gambar kugiran atau kerja seni album mahupun lagu.
Untuk gambar kugiran, pastikan wajah setiap ahli jelas kelihatan. Gambar yang estetik membantu jika artikel itu ada tujuan khusus, contohnya pelancaran lagu atau album. Namun, untuk artikel umum tentang kugiran anda, lebih baik disertakan juga gambar yang neutral dan jelas.
Belanja sedikit wang, tempah jurugambar yang baik dan susun satu sesi penggambaran. Cuba dapatkan gambar dengan latar belakang serta pakaian berbeza dalam satu sesi penggambaran. Hantar gambar dengan resolusi penuh dan jangan lupa letakkan kredit untuk jurugambar anda.
Pengurusan
Urusan dengan media tidak selalunya lancar. Kadang-kadang, ada banyak hal perlu diselesaikan hanya untuk satu artikel. Lebih baik jika kugiran anda ada pasukan pengurusan yang khusus, baik terdiri daripada ahli kugiran sendiri atau orang luar. Pastikan pengurus punya kemahiran interpersonal yang baik dan mudah dihubungi.
Penulisan
Seperti mana-mana perniagaan, teknik penulisan dalam siaran media atau media sosial sangat penting. Ingat, anda mahu jual karya sebagai produk. Hasilkan siaran media yang kemas, bermaklumat dan menarik. Silap-silap, keseluruhan siaran anda itu akan disiarkan sebagai artikel.
E-mel yang anda hantar pada media juga perlu lengkap. Jangan tulis sebaris ayat kemudian letak pautan dan kepilan. Tulis pengenalan yang menarik. Amalkan juga menghantar profil dan gambar dalam setiap e-mel untuk memudahkan kerja media.
Karya
Ini yang paling penting. Kalau anda dah buat keempat-empat perkara di atas dengan baik tetapi karya anda tidak cukup bagus, sukar juga nak dapat tempat dalam media. Hasilkan karya dengan teliti dan berkualiti. Kalau menyanyi suara lepas tak lepas, lagu terlalu mirip karya lain, takkan media mahu promosi?
Media yang baik akan menapis bakat-bakat yang mahu diketengahkan. Ini dipanggil kurasi. Kurasi media akan meninggalkan kesan kepada imej dan jenama kami. Jadi, hasilkan karya yang baik dan hebahkan kehebatan anda kepada media dengan panduan ini.
Saya tahu, apa yang ditulis ini terlalu ringkas. Untuk panduan yang lebih mendalam dan contoh-contoh profil, gambar serta penulisan yang baik, boleh hubungi saya melalui emel atau media sosial. Kita bincang.