Menurut Loque, ada kemungkinan Butterfingers kembali bersatu: ‘Mustahil nak jadi original…’

Menurut Loque, ada kemungkinan Butterfingers kembali bersatu: ‘Mustahil nak jadi original…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apa pandangan Loque tentang industri muzik sekarang?
Dari segi media, sekarang lebih baik. Maksudnya, media sekarang lebih ada maklumat. Bukan nak cakap media dulu tak ada maklumat, cuma sekarang ilmu, maklumat atau data di hujung jari. Dari segi pemahaman muzik pun, mungkin kerana trend media sosial, pemahaman wartawan lebih bagus.
Cuma dari segi ketaksuban kepada arus perdana, sama sahaja. Mereka mengikut benda yang popular. Itu mungkin memang sifat manusia, cuma Malaysia lebih sedikit. Macam taksub kepada benda import, (produk) luar, mat saleh. Media nampaknya begitulah. Kalau tak kenal, “kau siapa?”. Kalau tular, terus dicop bagus. Mentaliti kawanan.

Wartawan masih ‘makan’ benda macam itu. Cuma, sekarang lebih baik sebab dah ramai wartawan, blogger yang meraikan hal intelektual dalam seni. Itu yang penting. Nak popular tak apa cuma cuba seimbangkan. Macam di Indonesia, benda tular pun banyak, tapi hal seni pun sama ke depan. Aku pernah berjumpa pemandu teksi di Indonesia boleh bersembang tentang idea politik Ahmad Dhani.
Bagi aku, penghargaan itu semakin nampak tetapi belum meluas. Ia perlu mula dari pendidikan juga. Tak cukup hanya ajar main rekorder, perlu ajar sejarah juga. Sejarah muzik tidak lagi diraikan. Tak perlu sejarah lama, lagu-lagu 80-an macam lagu Headwind, Francissca Peter, Carefree, budak-budak sekarang dah tak tahu walaupun ada internet. Di mana salahnya? Di mana silap kita?

Masih ramai peminat yang mahukan Butterfingers. Apa pandangan tentang mereka yang masih terikat dengan nostalgia?
Aku rasa okey saja. Mungkin Butterfingers itu terpalit dengan kehidupan dia. Masa dia membesar, masa susah dia dengar Butterfingers. Jadi, lagu-lagu itu terpatri dalam ingatan dia.
Aku masa mula awal-awal Monoloque dulu nak cuba tunjukkan sesuatu yang baharu. Sekarang masih sama cuma dulu lebih nak tanggalkan kaitan dengan Butterfingers. Sebab kita baru nak bawa benda baharu. Tapi bila dah mula, baru sedar yang tak boleh lari juga. Itu karya aku dari dulu. Aku hi­dup untuk Butter­fingers dulu, kenapa nak pa­dam­kan dan biarkan dia ter­bengkalai?
Tapi bila nak buat balik Butterfingers, macam terbitkan semula album Trans­cendence baru-baru ini, aku tak boleh buat semata-mata untuk untung atau buat sambilan saja. Aku kena buat itu macam aku dulu-dulu. Cuma nak buat semula, mungkin ambil masa. Butterfingers bukan aku seorang, ada anggota lain.

Jadi, ada kemungkinan Butterfingers akan kembali?
Ada. Sekarang pun hubungan kami dah okey, dah mula bercakap dan berniaga bersama semula. Kita buang yang keruh. Aku rasa aku dah korbankan 20 tahun untuk Butterfingers, bodohlah kalau aku biarkan dia terbengkalai. Alhamdulillah, kami dah terbitkan semula Transcendence. Rancangannya kami akan terbitkan lagi sampai 1.2 Miligrams.

Bagi Loque, mana satu zaman emas untuk muzik Malaysia?
Aku rasa kemuncaknya pada 80-an. Zaman itu lagu hebat, rakaman hebat, lirik hebat. Waktu itu mungkin aku pun tak suka tapi kalau kau tengok sekarang, nampak kehebatannya. Lagu-lagu A. Ali, Alleycats, Kenny, Remy dan Martin. Kemudian ada lagu joget pula, SM Salim dengan Tak Seindah Wajah. Francissca Peter dengan Komputer Muzik. Ada pula Ben Nathan dengan Stanza Sekeping Hati.
Kelebihan mereka pada zaman itu dari segi komposisi lagu dan rakaman. Mungkin mereka dah ada satu pencontoh sebab waktu itu, semua dah diperkemas. 70-an pun bagus dengan lagu-lagu Rafeah Buang, lagu raya semua. 70-an, 80-an, pop yeh yeh semua bagus tapi dari segi komposisi, yang paling ‘masak’ bagi aku, 80-an. Masuk 90-an dah kurang sikit.

Pendapat Loque tentang originality?
Terinspirasi atau meniru, dua-dua aku okay kecuali kalau kau ambil sebiji, hanya tukar lirik saja, itu keterlaluan. Ada juga kau ambil lagu hanya tukar bahasa untuk mengajar. Mengapa kugiran sadur lagu? Untuk orang kenal lagu itu. Contohnya Guns N Roses sadur lagu Knockin’ On Heaven’s Door dari Bob Dylan. Orang kenal lagu dia lebih dari Bob Dylan. Mungkin itu tujuannya, dia buat supaya orang kenal lagu itu walaupun mereka belum dengar versi Bob Dylan.
Kalau nak cakap originality, ia mustahil sebab semua nota muzik sudah dimainkan. Helahnya sekarang adalah untuk tidak mainkan semua nota, mungkin dari situ boleh dapat originality.
Kalau nak kata ambil riff dari lagu lain, sama macam budaya sampel dalam hip hop. Sekarang dah tak boleh persoal perkara ini sebab kadang-kadang kita tak sengaja ikut. Kita suka lagu dia dan ia tak sengaja keluar dalam lagu kita.
Dalam album Perang Halimunan aku banyak buat lagu di atas sampel lagu lain. Aku dengar lagu SM Salim ulang-ulang, kemudian aku buat satu lagu atas dia jadi lagu baharu. Macam lagu Soalan Yang Tiada Jawapannya, orang baru perasan ada bunyi lagu Fantasia Bulan Madu. Dia sebenarnya gabungan Fantasia Bulan Madu dengan Bunga Angkasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya