Kita boleh cari definisi Aidilfitri di buku-buku dan kitab-kitab tapi pada peringkat peribadi, pengertian Aidilfitri setiap kita adalah berbeza.
Untuk menyelami pengertian dan kenangan Aidilfitri yang berbeza-beza ini, saya menemu bual sekumpulan pemuzik dari latar belakang berbeza, malah ada antaranya yang berbeza bangsa.
Kolektif ini dikenali sebagai Projek Bodo-Bodo, sebuah projek menyadur lagu secara suka-suka yang ditubuhkan ketika pandemik. Walaupun dimulakan dengan suka-suka, mereka sudah menghasilkan empat saduran bersama video muzik di Youtube.
Kisah raya masing-masing sememangnya berbeza. Ada yang sudah kurang teruja dengan raya selepas terbiasa dengan kehidupan pandemik, ada yang mula menyedari nikmat pulang ke kampung halaman, ada juga yang sudah kehilangan saudara terdekat.
Namun, mereka semua boleh bersetuju bahawa Aidilfitri ialah hari kemenangan dan hari kebesaran untuk umat Islam yang berjaya mengharungi dugaan Ramadan.
Aidilfitri juga dilihat bagai cermin untuk kita menilai, ada kemajuankah dari segi kehidupan dan amalan sepanjang Ramadan?
Bulan kesyukuran
“Kalau bulan puasa biasa orang tetapkan matlamat, nak turunkan berat badan contohnya, raya itu ialah hentian untuk kita nilai, matlamat itu dicapai atau tak. Kalau tak capai, apa perlu dibuat?
“Aku taklah raikan sangat raya. Apabila hari raya, aku akan cermin dalam diri, tengok sama saja macam dulu. Maknanya ada yang perlu dibaiki,” kata Gheff. Syawal dilihat sebagai bulan penilaian selepas menanam pelbagai tekad sepanjang Ramadan.
Sahaq pula berbeza. Dua tahun pandemik menyedarkan dia tentang nikmat meraikan Syawal bersama keluarga besarnya di kampung.
“Aku jarang balik kampung, sebelum pandemik pun. Tapi dua tahun pandemik buat aku sedar, ada benda yang aku tak hargai dulu. Waktu boleh balik aku tak nak balik.
“Jadi, raya tahun ini agak istimewa. Dua tahun ini ubah perspektif aku terhadap hari raya. Memang (sepanjang pandemik) aku beraya dengan isteri dan anak-anak tapi beraya dengan keluarga besar itu satu nikmat yang berbeza,” katanya.
“Hari raya ini kita mula semula. Apa-apa dosa yang aku buat dulu, hari raya ini adalah untuk aku minta maaf, perbaiki diri. Ini seperti peluang kedua,” tambah Alvin.
Keraian bukanlah keutamaan bagi Alvin yang memeluk Islam kira-kira 20 tahun lalu, mungkin kerana sudah terbiasa dengan kehidupan dalam pandemik.
Tali kasih
Projek Bodo-Bodo bermula dalam pandemik. Ketika itu, seluruh dunia fikir virus korona datang untuk memutuskan hubungan sesama manusia. Resam manusia, ia berevolusi dan beradaptasi, maka rintang virus dihadapi dengan kuasa maya. Ketika hubungan fizikal tersekat, manusia berhubung secara maya.
Ia ironi yang besar. Saya sendiri berada dalam lingkungan Projek Bodo-Bodo dan saya juga membina hubungan persahabatan dengan mereka (dan ramai lagi kenalan lain yang tidak terlibat secara terus dengan projek sadur lagu ini).
Ini yang diperkatakan Kamil ketika menjelaskan mengapa Aidilfitri disambut meriah oleh bangsa Melayu. Silaturahim puncanya, Melayu bangsa yang mementingkan silaturahim.
Projek Bodo-Bodo bukan sekadar projek muzik, ia sejambak bunga persahabatan yang sedang mengkal. Awalnya ia tumbuh, lalu mekar menyegar; dibadai cabaran tapi terus segar memekar.
Tahun lalu, Aidilfitri disambut dalam sekatan pandemik. Saya sendiri menyambutnya berjauhan dengan ibu bapa, hanya bersama adik-beradik yang sama merantau.
Ketika itu, Projek Bodo-Bodo juga merayakannya. Kami berkongsi gambar di pagi raya melalui Whatsapp, bersama mengucap selamat secara maya.
Pada 25 Jun ini, sebuah gig khas untuk meraikan Projek Bodo-Bodo akan dianjurkan oleh LUAS bertempat di Angkasa Event Space. Motherwit, MIM, Angqasa, Late Night Frequency, Dewataraya dan Glistening Redchair akan berkongsi pentas dan pastinya, lagu-lagu saduran mereka juga akan dihidangkan.
Selepas meraikan Hari Raya Aidilfitri, kita akan meraikan hari raya persahabatan pula pada malam itu. Manusia dijadikan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa untuk saling mengenali.
Fitrah manusia adalah untuk berhubung sesama manusia. Seperti kata Moja, Aidilfitri adalah tentang kembali kepada fitrah dan semoga Aidilfitri ini, kita dapat merai dan mengeratkan tali kasih kita sesama manusia.