Lebaran norma baharu - Miller Khan - Utusan Malaysia

Lebaran norma baharu – Miller Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pejam celik sudah dua tahun kita dikurung dan diikat dek kehadiran si virus pembunuh, Covid-19.

Kedatangan Syawal tahun ini pastinya bukanlah sesuatu yang perlu diratapi dan ditangisi lagi akibat terpaksa berjauhan dengan keluarga dan orang tua tercinta.

Ya! Akhirnya, Insya-Allah lebaran kali ini umat Islam terutama di Malaysia dapat menyambutnya seperti sedia kala walau dalam keadaan norma baharu.

Tidak mengapa! Asalkan dapat pulang ke kampung halaman. Sama juga seperti anak seni kelahiran Malaysia seorang ini, sudah semestinya Aidilfitri kali ini adalah sambutan paling bermakna buatnya.

Berbeza dengan Syawal sebelum ini, pelakon Miller Khan memaklumkan perayaan tahun ini lebih meriah apabila dua keluarga disatukan bersama-sama menyambut di negara seberang itu.

“Tahun ini, saya beraya di Jakarta bersama isteri dan berkemungkinan besar ibu serta adik-adik saya akan datang ke sini. Insya-Allah.

“Untuk raya tahun ini sebagai seorang suami sepertinya akan lebih sedikit sibuk daripada biasa. Ia kerana dua keluarga bergabung menjadi satu!

“Jadi, keluarga makin besar dan ramai juga saudara mara yang baharu berkumpul bersama-sama. Pastinya lebih sibuk untuk lebaran pada kali ini,” katanya kepada Pancaindera.

Sama seperti lebarannya sebelum ini, dirinya sudah sebati bagi meraikan Syawal di sana.

Namun kehadiran keluarganya dari Malaysia pasti akan menambah kemeriahan dan keriangan hari raya.

“Jadi, setiap kali lebaran saya sedaya upaya semaksima untuk bertemu dengan keluarga lebih-lebih lagi kini saya sudah mempunyai keluarga baharu.

“Sanak saudara saya yang berada di Malaysia harus bertemu juga serta saling bermaaf maafan. Saya memang merindukan momen-momen indah berhari raya.

“Kalau dulu-dulu, kita sakan beraya. Lebih-lebih lagi zaman kanak-kanak. Memang seronok kutip duit raya.

“Detik-detik seperti inilah menjadikan hubungan sesama kita lebih erat lagi antara saudara mara yang sudah lama tidak berjumpa. Saling bertukar cerita, makan ketupat dan lemang bersama-sama,” kongsinya lagi.

Abang kepada pelakon Isa Khan ini mendirikan rumah tangga dengan pereka fesyen, Farina Rebecca November tahun lalu.

Miller yang juga seorang model peragaan diijabkabulkan dalam satu majlis yang diadakan secara tertutup di Bali, Indonesia.

Teruja, gementar merai cinta dua keluarga
Bernafas dalam ruang hidup sebagai seorang suami membuka lembaran baharu dalam kehidupannya.

Jika sebelum ini dia meraikan lebaran sendiri atau bersama keluarga di Malaysia, tahun ini lain ceritanya.

Erti Aidilfitri bertambah meriah buat dirinya apabila pertama kali menyambutnya sebagai sepasang suami isteri.

Bagi Miller, tiada perbezaan yang ketara sambutan lebaran di negara seberang, Indonesia jika hendak dibandingkan dengan tanah air sendiri.

“Perbezaan lebaran di sini dengan tanah air , tiada sangat berbezanya. Yang penting detik ketika meraikan Aidilfitri.

“Mudah-mudahan kita semua dapat bersatu dan bahagia. Saya cukup teruja dan ada juga sedikit gementar apabila besan berjumpa dengan ibu. Semoga dapat bersatu,” tuturnya.

Menitipkan harapan, Miller berharap agar lebaran pada kali ini dapat membawa kebahagiaan buat semua insan yang menyambutnya.

“Bersyukur sekali akhirnya Covid-19 beransur pergi daripada hidup kita. Sangat bersyukur dan berterima kasih. Semoga lebaran kali ini membawa kebahagiaan yang tidak terhingga buat kita semua.

“Tetapi, tetap harus berjaga-jaga kerana virus ini masih ada di sekitar kita. walaupun beraya, harus kita menjaga juga,” katanya.

Rindu berlakon di Malaysia
Tanpa disedari, sudah lebih 15 tahun Miller Khan mencipta nama di persada seni Indonesia. Tempoh lebih sedekad itu bukan sahaja mematangkan diri dan mewarnai kerjayanya, malah lebih dari itu.

Percaturan hidupnya berjaya. Dia mengambil keputusan berhijrah dan memahat nama di Indonesia bagi mengembangkan lagi bakat yang ada.

Pernah membintangi filem popular Sepet pada usia mudanya, kini figura ini mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan pelakon-pelakon terkenal di sana. Cukup membanggakan!

Sempat bertanya perkembangan terkini kerjaya seninya, apa yang boleh dikatakan adalah jadual kerjanya kini sedikit ‘padat’.

“Bagi perkembangan terbaharu, saya sedang promosi siri terbaharu di Viu yang berjudul Assalamualaikum Calon Imam musim kedua.

“Selain itu, saya juga sedang menjalani pengambaran sinetron terbaharu. Ya, jadual saya kini agak sedikit padat. Jadi, pada sambutan lebaran saya bercuti dan ia benar-benar lega.
“Kita asyik bekerja jadi kesempatan bercuti dan beraya ini saya guna sebaik mungkin,” katanya.

Pernah mencipta magis apabila diangkat sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Asian Academy Creative Awards (AACA) pada 2020, dia mendedahkan dirinya tidak pernah menutup ‘rezeki’ dalam mewarnai layar skrin di tanah air sendiri

Katanya, walau ada produksi yang melamarnya sebagai pelakon menerusi naskhah mereka, namun dek tuntutan kerja yang masih belum selesai di negara jiran itu, dia terpaksa menolak dahulu perancangan tersebut.

“Saya tidak menutup tawaran jika menerima projek di Malaysia. Memang ada yang ingin mengajak saya berkolaborasi dalam produksi mereka.

“Tetapi untuk sementara ini, saya masih dalam proses pengambaran untuk naskhah sinetron,” kongsinya.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Sudah pastinya ada perasaan rindu untuk kembali berlakon dengan produksi di tanah air sendiri.

Jika punyai kelapangan, pasti dirinya akan kembali semula dalam industri tempatan.

Maka, pelakon tinggi lampai ini berharap agar dipermudahkan segala urusan dan Allah merestui hasratnya.

“Bagaimanapun, misal kata jika ada kelapangan untuk saya mewarnai layar skrin tempatan semula, Insya-Allah sudah pasti dan senang hati ingin kembali ke tanah air.

“ Saya juga gembira dengan perkembangan industri seni Malaysia. Meriah dengan kehadiran pelapis baharu. Kita saling menyantuni dan menyokong,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN