Cik Bunga hampir terlupa dalam industri seni kreatif ini, wujud nama pelakon Nafiz Muiz. Iyalah, tak banyak cerita mengenai dia bertebaran dalam ruang seni. Nak kata orang bercerita pasal kerjaya sangat pun, tidaklah meriah mana.
Nak kata orang cerita pasal hal peribadi pun, rasanya pun macam tak ada.
Kecuali masa dia nak berkahwin dengan adinda kepada Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pada 2 Januari tahun lalu.
Baru-baru ini, ada antara rakan media yang turun padang ke sebuah majlis hari raya dan bertemu dengan Nafiz di majlis yang sama. Alang-alang bertemu, maka temu bual lah.
Antara yang dibualkan adalah mengenai kehidupannya sebagai adik ipar Sultanah.
Tup-tup bila keluar cerita itu, boleh pula dia suruh orang hormat privasi dia dan keluarganya. Sampai minta turunkan artikel berkenaan di laman sesawang. Apa cerita pula ini dik?
Bagi Cik Bunga, iya kita boleh hormati privasi seseorang artis itu. Tapi, kalau sudah tahu diri sedang ditemu bual wartawan, kalau tak suka kisah hidup dihebohkan, jangan buka mulut rancak bercerita dik.
Sudah nama pun artis dan selebriti, adakala memang tak boleh lari daripada publisiti.
Tapi, kalau orang sudah sudi hendak bantu promosikan diri awak, usahlah rasa semua wartawan itu suka hendak menyibuk pasal kehidupan artis.
Cik Bunga rasa, mungkin pelakon ini wajar lebih bertenang dalam mengendalikan publisiti.
Bukan cerita buruk pun yang ditulis oleh wartawan berkenaan. Tiada niat mahu menjatuhkan dia pun.
Silap hari bulan, entah-entah orang yang baca pun tak peduli sangat. Mungkinlah kan.
Jadi relakslah. Berterima kasihlah kerana sekurang-kurangnya cerita yang ‘off record’ itu kami tak siarkan.
Harga RM800, tapi pelakon suruh cakap RM3,000?
Eh! Apa hal pula ya main sebut-sebut harga begini? Ini berkenaan jumlah bayaran khidmat lakonankah? Okey, bertenang semua pembaca. Ini bukan soal khidmat lakonan, tapi ini tentang harga bayaran tempahan baju yang sepatutnya cuma berharga RM800, tapi diminta cakap kepada semua orang harga itu RM3,000.
Si pembuat onar ini pula kononnya menempah baju untuk sebuah majlis dengan seorang pereka fesyen tempatan. Bukan main permintaannya. Nak gaun merelip, kain di belakang pun berkepuk-kepuk gitu.
Sudahlah minta itu ini, pelakon ini tegar juga nak minta diskaun. Dah beri diskaun, tiba masa untuk bayar, eh…eh… pereka fesyen ini pula yang macam peminta sedekah nak dapatkan duit hasil kerjanya.
Balik-balik dapat jawapan ‘Nanti aku bayar.. Nanti aku bayar!’ Sudahlah begitu, siap pesan pada pereka fesyen itu, kalau ada orang tanya harga baju yang dibuat, jangan cakap harganya RM700. Punya takut orang ingat dia bukan orang ada-ada.
Nak tergelak juga Cik Bunga sebab, tengok pada gaya hidupnya yang konon-konon itu, memang nampak dia begitu try hard nak tunjuk dia selebriti paling bergaya, paling kaya. Alahai, ada banyak lagi hal dia yang Cik Bunga tahu, cuma malas nak kongsi.
Tapi mengenangkan fiil buruk dia ini, Cik Bunga rasa memang patutlah dia ini asyik hilang kawan. Agaknya kawan-kawan pun dah meluat dengan perangai dia yang acah-acah itu. Yang penting, kalau dah berhutang itu, bayarlah.
Terlalu merendah diri sampai kena pijak
Ini cerita mengenai seorang penyanyi atau vokalis sebuah kumpulan yang popular sekitar tahun 90-an dulu. Tapi, sekarang pun Cik Bunga rasa dia masih popular. Iyalah, orangnya pun walau dah berusia 40-an, tetap tampan bergaya.
Cik Bunga memang puji sikapnya yang berbudi pekerti. Kalau bercakap pun, tone suaranya lembut saja, soft spoken orang kata. Tapi satu tentang penyanyi ini, dia terlalu merendah diri. Mungkin sikap itu jugalah yang menyebabkan dirinya pernah ‘dipijak’ sebelum ini.
Pernah bernaung di bawah sebuah pengurusan bakat, rupa-rupanya, penyanyi ini sering ditindas. Tapi sedikit pun dia tak buka mulut apa yang berlaku pada dirinya dan Cik Bunga dapat tahu pun daripada orang industri.
Kasihan sebenarnya dengan dia. Royalti lagu entah apa cerita, akaun media sosial pun dikawal orang lain, klien nak dapatkan dia pun susah dek onar orang lain. Sebenarnya, pernah Cik Bunga tanya pada dia sendiri, kenapa dia tak nak bangkit melawan orang yang menindas dirinya.
Jawapan yang diterima Cik Bunga, ‘abang tak nak gaduh-gaduh dengan orang lah dik. Abang nak hidup tenang saja,’ Punyalah dia releks, kita yang mendengar nasibnya begitu pula yang jadi panas hati.
Malah, penyanyi ini punya merendah diri, sampai dia pernah sebut, ‘abang ingat tak ada orang nak interview abang, Iyalah, sebab abang bukan popular pun’. Cik Bunga hairan, mana mungkin tak popular. Sebut saja lagu dia, Cik Bunga pasti ramai tahu, siap nyanyi terus!
Harapan Cik Bunga, biarlah suatu hari nanti kebenaran dan keadilan menjadi milik dia. Hati penyanyi ini terlalu lembut dan sukar untuk merubah caranya. Semoga ganjaran pahala milik abang.