APABILA pelakon dan pengacara, Yasmin Hani mula tayang gambar berdua dengan pelakon Alif Hadi di akaun media sosialnya, ramai berkata, alahai, itu normal lah sebab mereka sedang berlakon bersama.
Namun, apabila pelakon ini kemudiannya mengesahkan dia dan Alif memang sedang dalam fasa mengenali hati budi, ramai pula yang ala-ala tak boleh menerima.
Macam-macam kata dilemparkan kepada aktres ini, maklumlah, dia juga sebelum itu (sekitar Disember) tampil mengejutkan peminat dan pengikut tentang pengakuannya sudah bercerai dengan bekas suami, Sha’arin Mohamed Razali.
Tempoh hari semasa lebaran pun, Yasmin umpama tidak kisah untuk berkongsi gambarnya di media sosial bersama Alif dan anak-anak sempena hari raya. Gambar pula sudah seakan-akan potret sebuah keluarga. Bahagia!
Menggali isi hati Yasmin mengenai perkara ini, Pancaindera mendapatkan pelakon berusia 43 tahun ini untuk berkongsi cerita.
Yasmin boleh dikira masih awal lagi mengumumkan mengenai hal perceraian. Tiba-tiba keluar kisah sedang mengenali Alif Hadi pula kini. Sejauh mana hubungan baru ini?
Alahai, kami ini baru saja kenal-kenal. Fasa perkenalan orang kata. Habis itu, nak cakap macam mana? Nak suruh saya teruja cakap ‘Oh! Memang kami ini sedang bercinta!? Nanti orang kata kita pula yang beria-ia. Benda pun masih baru sangat.
Tapi ada juga anggap Yasmin dan Alif ini macam sedang menipu netizen. Acah-acah nak buat gimik bercinta, hujung-hujung nak promo drama, promo produk. Komen?
Pernah tak tengok saya ini buat benda begitu? Buat gimik-gimiklah, berlakon di kehidupan realiti? Saya tidak buat publisiti murahan. Saya tak tahulah orang lain, tapi saya bukan jenis orang yang begitu.
Tapi dengan Alif ini, Yasmin sudah nampakkah yang hubungan ini akan sampai ke jenjang pelamin?
Saya tahu, kalaulah tak jadi sampai ke situ, orang akan cakap itu dan ini. Kita sendiri pun tak tahu mana hala tuju hubungan ini lagi sebab masih baru. Kalau dah nampak hala tuju itu, penentuan yang baik, saya dan Alif mesti akan kongsikan. Itu pasti. Sebab saya percaya, rezeki di tangan Allah SWT, begitu juga soal ajal dan jodoh. Paling penting sekarang ini, saya mahu bahagia, anak-anak boleh terima lelaki baru dalam hidup kami. Bukan Alif pun, sesiapa yang bersama kami, saya cuma nak lelaki itu boleh bawa tugas seorang bapa. Iyalah, saya ini bukan single, ada pakej dua budak kenit (anak-anak).
Maknanya, Alif itu di mata Yasmin memang memiliki sifat kebapaan itukah?
Ya, saya tak nafikan ada. Saya tengok cara dia bermain dengan anak-anak, melayan mereka, ya dia boleh. Kalau saya sibuk atau apa, minta tolong dia layan anak-anak, dia boleh. Selain itu, kita tak tahu lagilah. Kalau hendak tahu, kena tinggal sebumbung dululah baru nampak. (ketawa)
Apa lagi Yasmin nampak pada diri Alif yang membuatkan rasa selesa berdamping dengannya?
Saya ini orangnya bising, banyak cakap. Dia pula pendiam. Adalah juga momen dia bising tapi tak sebising saya. Memang itulah saya sebagaimana orang kenal, jenis tak pandai bawa dua muka. Alif pula penyabar. Dia bukan jenis lelaki yang memaksa-maksa. Ada setengah lelaki kan begitu. Lelaki begitu kita memang elak. Tapi dia ini tidak, dia sopan.
Orang kata cinta lokasi ini kadangkala tidak bertahan lama. Tapi nama pun jodoh kan, apa komen Yasmin?
Kalau tak bertahan lama saya okey, kalau bertahan lama pun saya okey. Jangan putus asa mencuba. Setiap orang mahukan perkara yang baik. Semua orang hendak persepsi yang mana mereka hendak perkara terbaik berlaku dalam hidup mereka. Baik saya, mahupun Alif. Asalkan kita tak melanggar apa-apa, saya okey. Kalau tak jadi, kita tetap akan bersyukur. Tak perlu bergaduh-gaduh, masing-masing sudah dewasa.
Jika berkahwin, ada sasaran tertentukah bila mahu melangsungkan hari bahagia itu?Atau ada sasaran usia?
Walau berapapun umur saya, tak payah hendak begitu. Kalau jadi, kahwin. Kalau tak jadi, saya menjanda sampai tua pun tak apa. Yang penting, saya bahagia, anak-anak bahagia, Alif pun bahagia. Kami tidak melukakan hati masing-masing itu sudah cukup. Keluarga pun cool saja. Baik masa saya beritahu nak mengakhiri perkahwinan terdahulu, termasuk kini sedang mengenali Alif, mereka semua okey.
Yasmin tak pernah buka cerita masalah rumah tangga terdahulu, kenapa?
Sesiapa saja ada masalah rumah tangga. Satu saya nasihatkan, kalau ada masalah baik besar atau kecil. Jangan canang pada semua orang. Saya pun begitu dulu. Tak boleh nak cerita. Tapi kalau boleh tak nak aibkan sesiapa walaupun hati memang sakit, baik dia, baik saya. Fikirlah keluarga. Kalau buka cerita, ibarat kita dah tanam benih, orang lain semua menuai. Tak ke mana juga kisahnya. Jadi diam lebih afdal dan manis.