Jururawat lelaki kewujudan yang tidak didendang

Jururawat lelaki kewujudan yang tidak didendang

jururawat lelaki
Kata Kamal, ramai menganggap jururawat lelaki sebagai MA atau HA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS melihat dokumentari mengenai ketua jururawat lelaki di Kedah yang bernama ‘Sister’ Bakar (yang telah kembali ke rahmatullah) ketika di bangku sekolah, terdetik di fikiran Kamal Ab. Ghani (gambar), 35, untuk menggapai cita-cita sama menjadi seorang jururawat.

Kamal yang kini bertugas sebagai Jururawat Kaunselor HIV dan AIDS (Pediatrik) di Klinik Pakar 1, Hospital Kajang, Selangor, berkata, walaupun pernah ditertawa rakan sebaya apabila menyuarakan hasrat untuk menjadi jururawat sebaliknya apabila bekerja, dia disenangi ramai pesakit lelaki.

“Umum mengetahui, jururawat lelaki tidak ramai. Tetapi penerimaan oleh pesakit sangat baik. Mungkin juga disebabkan oleh faktor pendidikan dan perkembangan kebanyakan pesakit lelaki ini mula menerima kehadiran jururawat lelaki terutama dalam kes yang melibatkan aurat.

“Bahkan ramai juga pesakit lelaki akan membuat permintaan sekiranya terdapat jururawat lelaki di unit tersebut. Semasa saya menjadi pelatih suatu ketika dahulu, jururawat lelaki hanya boleh dijumpai di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan sahaja,” katanya yang bersyukur apabila Utusan Malaysia meraikan jururawat lelaki yang ‘tidak didendang’ ini.

Kamal yang berpengalaman 17 tahun sebagai jururawat dan pembantu jururawat serta klinik berkata, masyarakat sering keliru dengan kewujudan jururawat lelaki kerana kerjaya itu tidak sepopular di luar negara malah ramai yang menganggap mereka sebagai Penolong Pegawai Perubatan (MA) atau Hospital Assistant (HA).

“Tiap kali bertemu orang awam, saya kerap ditanya sama ada bertugas sebagai MA atau HA. Tetapi selepas menjelaskan kepada mereka, baharulah mereka faham tugas saya sebagai jururawat lelaki,” katanya yang kini bertugas di Klinik Pakar Pediatrik sejak enam tahun lalu.

Anak bongsu daripada lapan adik-beradik ini juga merupakan orang ketiga dalam keluarga menjadi jururawat selepas kakak, Rosnida Ab. Ghani, 38, yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu, Kelantan dan kakak ipar, Staff Sarjan Masniza Baharudin, 38, di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai pengalaman sukar dilupakan, kata Kamal, pengalaman sedih yang memberikan kesan sepanjang bertugas sebagai jururawat adalah apabila kehilangan dua kawan baik akibat jangkitan Covid-19.

“Pengalaman paling gembira pula ialah bila cita-cita saya hendak menjadi jururawat sejak dari bangku sekolah lagi sudah tercapai.

“Saya juga rasa gembira apabila pesakit yang kita beri penjagaan dan rawatan boleh pulang dengan sihat serta mengucapkan ‘bye-bye, terima kasih misi’,” katanya yang ingin majukan diri lebih selangkah lagi sebagai jururawat pengajar suatu hari nanti.

Nasihat Kamal kepada lelaki mahupun wanita terutama generasi baharu yang bercita-cita untuk menjadi jururawat agar tidak menganggap kerjaya jururawat hanya sebagai suatu kerja semata-mata.

Sebaliknya. letak dalam hati bahawa bidang kejururawatan ini adalah suatu profesion agung yang bersifat berterusan dan tidak terhenti setakat diploma sahaja.

“Belajarlah semampu yang boleh agar cita-cita tercapai walaupun kita pernah gagal sekali. Bagi saya, gagal sekali tidak bererti kita gagal selama-lamanya,” katanya.

Tersentuh hati melihat situasi pesakit Covid-19

LAIN pula kisah Jururawat Masyarakat, Rus Hasimah Anuar yang berpengalaman dalam mengendalikan pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor, setahun yang dilalui betul-betul membuatkan jiwanya tersentuh.

Rus Hasimah Anuar.

Kongsi Rus Hasimah, 33, pada awalnya dia berasa takut dan bimbang untuk bertugas di pusat kuarantin kerana kurang ilmu pengetahuan mengendalikan pesakit Covid-19.

“Selepas pulang daripada kursus Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM), saya diarahkan bertugas di PKRC MAEPS selama setahun. Pastilah timbul rasa takut dan risau jika tidak dapat mengawal pesakit-pesakit ketika itu. Lebih-lebih lagi ini merupakan pengalaman pertama semua orang.

“Selain perlu memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) yang panas dan tidak selesa namun terpaksa menyarungnya juga untuk elak daripada jangkitan.

“Tetapi alhamdulillah apabila melihat wajah pesakit yang memerlukan pertolongan daripada jururawat, jiwa saya tersentuh dan ingin memberi pertolongan terbaik sehingga mereka dibenarkan pulang dan bebas Covid-19,” katanya yang memegang prinsip layan orang dengan baik walaupun kita tidak menerima layanan yang sama.

Katanya, pernah juga ada sesetengah waris kurang memahami tugas jururawat dan memarahi tanpa usul periksa. Namun penting baginya dan jururawat lain untuk bersabar dan mengawal situasi sebegitu.

Rus Hasimah pernah tular Mei tahun lalu selepas Utusan Malaysia melaporkan kisahnya dalam menyakinkan masyarakat bahawa Covid-19 benar-benar wujud.

Disebabkan perwatakannya yang peramah dan ikhlas dalam menjalankan tugas, ibu empat anak ini begitu disayangi dan disenangi pesakit Covid-19 di PKRC MAEPS mahupun ketika tidak bertugas.

“Saya sangat rapat dengan pesakit. Saya tidak mahu mereka berasa asing dan ‘tidak selamat’ semasa mendapatkan rawatan. Sebab itu, ketika bertugas, pesakit selalu memberikan ucapan Terima Kasih Jururawat dan membuat kad ucapan Terima Kasih Frontliner sebagai penghargaan.

“Apabila berjumpa di luar waktu bertugas, ada pesakit dan waris bertegur sapa walaupun saya tidak memakai uniform. Saya terharu dan seronok kerana dihargai serta gembira apabila waris berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan terhadap pesakit.

“Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk berbakti kepada masyarakat dan meningkatkan mutu perkhidmatan semasa bertugas. Saya yakin jika kita gembirakan orang lain dan menyenangkan mereka, kita akan dibalas baik dan peroleh pahala berlipat kali ganda,” katanya yang kini bertugas di Wad 3, Hospital Kajang, Selangor.

Rus Hasimah berkata, bertugas sebagai jururawat memerlukan tahap kesabaran yang tinggi, berani, sanggup bertugas bila-bila masa dan ikhlas dalam merawat pesakit serta melaksanakan tugasan dengan baik.

Terkenangkan detik pesakit ‘tewas’

PENGALAMAN sedih sebagai seorang jururawat apabila menghadapi perjalanan terakhir pesakit. Senior Manager Nursing di Pusat Perubatan Sunway, Razlina Ramli, 45, menyifatkan tugas seorang jururawat adalah membantu sedaya-upaya pesakit kembali sihat di samping cuba mengembalikan keupayaan kendiri pesakit seperti sebelum mereka jatuh sakit.

Razlina Ramli.

“Pesakit yang kita jaga selama ini akhirnya tewas dengan takdir yang telah ditetapkan iaitu kematian.

“Sebagai seorang jururawat, kami memahami situasi pesakit yang telah berada di tahap kritikal namun kehilangan pesakit masih amat dirasai.

“Sedih apabila terkenangkan kembali detik-detik pesakit yang ‘tewas’ disebabkan ikatan perhubungan antara ‘nurse-patient’ yang telah dibina semasa menjalankan tugas,” kata anak kelahiran Terengganu ini.

Ujar Razlina yang bertugas lebih 20 tahun sebagai jururawat, persepsi orang awam terhadap kerjaya jururawat adalah hanya menjadi pembantu kepada doktor untuk merawat pesakit.

“Bagaimanapun, tugas dan tanggungjawab kami lebih daripada itu yang mana banyak kemahiran lain diperlukan di dalam profesion yang dianggap mudah ini.

“Untuk membolehkan jururawat terlatih dibenarkan bekerja adalah dengan memiliki lesen yang harus diperbaharui setiap tahun.

“Jururawat terlatih perlu menghadiri training dan juga mengikuti kursus akademik klinikal supaya memenuhi kriteria yang diperlukan untuk memperbaharui lesen kerja. Jadi, kerjaya sebagai jururawat tidaklah mudah yang disangka,” katanya.

Tambah Razlina, pandemik Covid-19 menyebabkan banyak perubahan dalam cara mengendalikan pesakit dan juga family expectation yang tinggi.

“Tugas frontliners adalah mengikut panduan disarankan KKM untuk keselamatan pesakit dan juga jururawat atau frontliners.

“Karier sebagai seorang jururawat atau frontliners sangat mencabar yang mana kerja kami melibatkan nyawa seseorang dan perlu memastikan pesakit selamat ketika berada di bawah jagaan kami.

“Oleh itu, apabila dapat merawat pesakit yang sangat memahami, menghormati dan menghargai setiap tugasan untuk membantu mereka, kami sangat gembira. Melihat pesakit sembuh dan kembali berdikari kami turut bersyukur. Ucapan terima kasih sudah cukup untuk menghargai dan menghilangkan penat lelah,” katanya.

Tegas Razlina, seseorang yang ingin menjadi jururawat bukan sahaja memerlukan kebolehan akademik tetapi juga penting mempunyai kemahiran Emotional Intelligence (EQ) yang tinggi.

“Generasi muda yang berminat untuk menceburi bidang ini sangat dialu-alukan kerana bidang kejururawatan sangat luas dan jururawat yang berpotensi boleh berpeluang mengembangkan karier di dalam industri kesihatan di peringkat global,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya