KUALA LUMPUR: Enggan mencetuskan kekeliruan, pelakon berbakat besar, Syazwan Zulkifli tampil menjelaskan berkenaan tatu yang kelihatan pada kedua-dua tangannya.
Jelas pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 3 ini, tatu berkenaan bukanlah jenis kekal, sebaliknya pelekat sementara yang dipakai untuk menjayakan sebuah drama pendek.
“Ini tatu sementara. Ia seperti pelekat yang boleh dihilangkan atau dicuci.
“Tatu ini saya pakai untuk beberapa hari sahaja. Sementara penggambaran belum selesai.
“Jangan risau, saya orang Islam dan masih ada ibu. Tidak logik kalau saya melakukan tatu sebenar,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Syazwan berkata sebagai pelakon dia tidak perlu kisah tentang tanggapan orang terhadap tatu berkenaan.
Katanya dia tidak membiarkan kekeliruan berlanjutan dan akan menjelaskan sekiranya ada yang bertanya.
“Saya tidak pernah risau tentang tanggapam orang bila melihat saya dalam keadaan bertatu begini sebab saya pelakon dan boleh bawa pelbagai watak dan imej.
“Kalau orang tanya saya akan jelaskan ia bukan tatu sebenar dan ia hanya untuk lakonan semata-mata,” katanya lagi.