Ili Akmal dan Aliff The Champ, masing-masing mengambil langkah berani dengan mencuba gaya muzik rap dalam kolaborasi mereka buat kali kedua ini.
Sebelum ini, Ili dan Aliff pernah mengeluarkan lagu duet pertama mereka bergenre pop berjudul Move On pada 2021.
Dalam kolaborasi tahun ini, mereka ingin mencabar kebolehan diri masing-masing dengan mencuba perkara baharu.
“Saya memilih untuk berduet dengan Aliff lagi sekali untuk lagu I Love Myself kerana selesa bekerjasama dengan dia.
“Saya takut-takut semasa menulis lirik lagu ini kerana tak pernah tulis lirik rap sebelum ini. Jadi, dengan kerjasama Dalin Lienda Winda, yang juga penulis lirik lagu ini, kami cuba untuk cari rujukan sebanyak mungkin untuk memahami penulisan lagu rap.
“Antara cabaran lain menghasilkan lagu I Love Myself, ini juga kali pertama saya buat lagu genre muzik latin. Ambil masa sebulan juga untuk memahami melodi muzik itu. Mujur, akhirnya muncul idea semasa memandu dan saya terus cuba sesuaikan dengan lirik lagu yang dicipta.
“Bagi Aliff pula, ini kali pertama kami beri cabaran rap untuk dia. Tetapi dia dapat buat dengan baik selepas membuat latihan dan belajar daripada orang berpengalaman. Kami terkejut tengok dia berjaya buat dengan yakin,” terang Ili.
Menurut Ilil, 36, lagu itu dihasilkan berdasarkan kisah-kisah cinta dan perkahwinan pasangan yang toksik.
“Mereka ini tak berani untuk tinggalkan pasangan mereka yang memang toksik. Jadi, saya harap bila saya buat melodi dan menyanyi lagu ini, akan buat orang tahu mereka sebenarnya berupaya tinggalkan orang yang toksik.
“Asalnya, lagu itu macam lagu menyerah, tapi saya jadikannya macam lagu untuk move on dengan gaya diva.
“Lagu I Love Myself juga ada muzik video yang boleh ditonton di laman YouTube Fusion Records MY dan ia boleh didengari di semua platform digital,” ceritanya lagi.
Sementara itu, Aliff The Champ atau nama sebenarnya Aliff Al-Farabby A. Rahim, 35, berkata, jika diberi peluang dia ingin bekerjasama lagi dengan Ili kerana sikap yang bagus selain memiliki suara merdu.
“Saya juga ingin mencuba menyanyikan semula lagu-lagu Evergreen sebab ramai pendengar sekarang rindu lirik dan alunan muzik lagu-lagu tahun 90-an,” katanya.