Hampir terbang ke London rakam lagu - Khatijah Ibrahim - Utusan Malaysia

Hampir terbang ke London rakam lagu – Khatijah Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MULA menyanyi seawal usia 15 tahun, langkah penghibur legenda, Datuk Khatijah Ibrahim masuk ke dalam industri seni tanah air tidak sia-sia.

Keputusan diambil tidak mengecewakan meskipun pada awal beliau tidak bercita-cita untuk menjadi penyanyi.

12 album studio., tiga album duet dan dua album kompilasi, Khatijah merupakan antara bintang selain Datuk M. Nasir, Anita Sarawak, Biduanita Sharifah Aini, Ramlah Ram dan ramai lagi yang melahirkan album solo setiap empat dekad.

Dalam perbualan telefon, penyanyi yang mesra disapa sebagai Ibu Khaty ini memberitahu dia menunggu sehingga usianya mencecah 18 tahun sebelum mengikat kontrak dengan syarikat rakaman terkemuka, Warner Music.

“Masa itu saya terlalu muda. Syarikat rakaman pun tidak ambil penyanyi bawah umur. Jadi saya tunggu sehingga usia 18 tahun, baru ikat kontrak bersama Warner Music. Saya menjadi artis rakaman wanita pertama mereka.

“Semua berlaku secara kebetulan. Pada masa itu, saya perlu membuat pilihan, antara terbang di awan biru bersama Saudi Airlines atau bekerja sebagai seorang kerani.

“Tetapi saya lepaskan kedua-duanya dan memilih bersama Warner Music,” kongsinya.

Bercerita lanjut, Khatijah memberitahu beliau pernah hampir dilamar syarikat rakaman yang berpusat di United Kingdom untuk merakamkan lagu. Namun hasrat tersebut terpaksa dilepaskan demi keluarga.

“Saya pernah ditawarkan seorang kapten penerbangan British Airlines untuk terbang ke London dan merakam lagu di sana.

“Agaknya, kalau saya sertai beliau, saya mungkin dikenali sebagai artis antarabangsa. Tetapi mengenali bapa, dia tidak membenarkan saya berjauhan dengan keluarga. Jadi, saya lepaskan keinginan itu.

“Saya tidak kecewa. Dalam hidup, saya miliki apa yang saya mahukan. Menjadi penghibur, mengembara ke seluruh dunia, terima pelbagai tawaran membuat persembahan di luar negara,” ujarnya.

Promosi Malaysia ke mata dunia
Sungguhpun tidak menempa nama di London, Khatijah berpeluang mewakili Malaysia ke pelbagai negara, mempromosikan pelancongan Malaysia di mata dunia.

Baginya, peluang yang diberikan ternyata memberi impak cukup besar terhadap kerjayanya sebagai penghibur.

“Pendedahan yang saya terima terlalu besar. Bertemu orang-orang kenamaan seperti Raja Jordan, pemilik kelab-kelab bola sepak ternama. Saya capai banyak perkara, cuma tak semua saya ceritakan,” katanya.

Disoal tentang pengalaman paling berharga, bintang berusia 63 tahun ini memberitahu peluang membuat persembahan di hadapan pemimpin dunia ketika Persidangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali yang diadakan di Malaysia satu masa yang lalu merupakan memori yang tidak dapat dilupakan.

“Membuat persembahan di hadapan bekas Presiden Cuba, Fidel Castro. Dia adalah ‘pahlawan’ bagi saya.

“Tetapi, mengecewakan apabila bekas Presiden Afrika Selatan, mendiang Nelson Mandela yang dijadualkan hadir, tidak dapat datang. Saya amat bercita-cita bertemunya.

“Selain itu, saya juga berpeluang bertemu bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf ketika diundang membuat persembahan di negara itu. Beliau ingat kepada saya. Itu menjadi antara kenangan yang cukup bermakna,” ujarnya.

Putus semangat, tidak mahu bekerja
Bercerita tentang titik terendah dalam hidup, Khatijah mengakui kehilangan ibu tercinta pada tahun 1979 merupakan memori hitam yang cukup menyakitkan.

Kongsinya, arwah ibu, pergi dalam kesibukannya membuat persembahan untuk konsert di Stadium Merdeka.

“Arwah ibu yang pilihkan gaun untuk saya. Rekaan pereka fesyen tersohor, Albert King. Namun dia tiba-tiba jatuh sakit. Ingatkan sakit biasa. Saya tidak membuat persembahan pada konsert pertama kerana perlu menjenguk keadaannya di hospital.

“Namun, saya tidak boleh menarik diri daripada konsert kedua kerana penonton sudah beli tiket. Selepas selesai konsert, gugur jantung apabila terima berita dia sudah tiada,” kongsinya.

Khatijah berkata ibu adalah segala-galanya baginya. Dia akui, selepas ketiadaan insan istimewa itu, dia hilang semangat dan tidak berkeinginan untuk bekerja.

“Saya bekerja untuk dia, beri dia segala yang dia inginkan. Selepas dia meninggal dunia, saya putus semangat dan tidak mahu lagi bekerja. Ibu sudah tiada, untuk siapa lagi saya berikan segalanya.

“Atas sokongan yang saya terima, saya bangkit. Dari situ saya kembangkan kebolehan, simpan wang, laburkan untuk berniaga, hartanah, memasak dan sebagainya,” jelasnya.

Kekalkan disiplin yang sama
Legenda tersohor ini mengakui perjalanan kerjaya sebagai penyanyi berjalan mudah sejak hari pertama. Itu adalah satu perkara yang paling disyukurinya sehingga ke hari ini.

“Alhamdulillah. Kerjaya saya, sejak mula-mula dulu berjalan mudah. Allah permudahkan segala-galanya bagi saya. Tetapi perlu ada kerja keras. Kerja bagai nak gila. Latihan, belajar lagu dalam pelbagai bahasa.

“Hadiri rehearsal. Saya tak mahu jadi penyanyi bodoh. Jadi setiap kali membuat persembahan, saya kaji audiens, siapa mereka. Kenali latar belakang mereka. Kena tunjuk kita penyanyi berilmu. Pengucapan, diksi diperkemaskan. Semua ini penting.

Ditanya tentang perancangan masa depan, Khatijah mengakui dia tidak lagi terlalu mengejar. Namun masih ada beberapa hasrat yang perlu dicapai sebelum mengucap selamat tinggal.

“Sebelum bersara, saya mahu menghasilkan satu lagi lagu hits. Berduet bersama Datuk Ramli Sarip atau solo.

“Dan sebuah konsert mega. Rancangan untuk mengadakan konsert besar sudah lama dirancang. Lokasi juga sudah dipilih iaitu di Istana Budaya.

“Namun banyak perkara berlaku. Kegawatan ekonomi, pandemik dan banyak lagi. Projek tersebut terpaksa ditangguhkan. Tetapi ia tidak terkubur,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya