Kalau Cik Bunga sebut nama penceramah motivasi ini, pasti semua orang kenal. Dia popular. Sering jadi penceramah jemputan termasuk di kaca televisyen.
Pendek kata, hebat dia dalam berkata-kata dan memotivasi, memang tak dapat disangkal.
Satu lagi, kalau perasan, bila ada sahaja isu membabitkan artis dan selebriti, yang baginya melampaui batas dan aib, dia adalah antara orang yang paling laju nak bagi komen.
Kata seorang teman Cik Bunga, dia juga adalah orang yang selalu hantar emel panjang lebar ‘membebel’ pasal mana-mana artis yang terjebak kontroversi dan menggemparkan negara.
Bagus orang begini. Kadangkala input yang diberikan pun berguna dan boleh diketengahkan sebab dia pun bercakap bukan tin kosong.
Tapi nak dijadikan cerita, baru-baru ini, dia pula dihimpit kontroversi. Anak lelakinya, pelakon, dilaporkan kantoi bercium dan berpelukan dengan seseorang. Sampai tular di media sosial!
Alamak… apa sudah jadi? Betul ke? Atau alasan yang selalu digunakan pelanduk dua serupa?
Cuba jugalah mendapatkan respons daripada ayahnya si penceramah terkenal itu. Bukan main susah nak angkat telefon. Siap tutup telefon ya!
Takut agaknya bila nampak nombor wartawan tertera di telefonnya.
Cik Bunga bukan apa, berbalik kepada soal betapa mudahnya dia memberi komen dan merumuskan kontroversi artis lain. Tapi bila kontroversi tak senonoh melibatkan anaknya, pandai pula dia berdiam diri.
Tapi, Cik Bunga pun cubalah juga husnuzon. Mungkin dia masih dalam keadaan terkejut. Tergamam keluarga turut diuji Tuhan. Iyalah, besar harapan dia pada anak lelakinya itu.
Apa pun, kita doakanlah yang baik-baik, iya tak..