Berniaga gerai? Kenapa nak malu - Hazama - Utusan Malaysia

Berniaga gerai? Kenapa nak malu – Hazama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKSANAAN perintah kawalan pergerakan (PKP) memberi pengajaran dan teladan kepada ramai orang tentang pengurusan kewangan.

Selepas tempoh lebih dua tahun lalu, ramai hilang pekerjaan dan tidak kurang juga yang berputih mata apabila terpaksa menutup perniagaan gara-gara penularan Covid-19.

Bagi penyanyi bersuara emas, Hazama, pengurusan kewangan yang betul yang diamalkan kira-kira sejak 10 tahun lalu telah menyelamatkan dirinya dan isteri daripada ‘jatuh terpuruk’ akibat ketiadaan kerja.

Kata pemilik nama sebenar Hazama Ahmad Azmi, dia bersyukur kerana kesedaran itu masih terus dipraktikan sehingga ke hari ini.

“Saya belajar urus kewangan sendiri sejak 2013 lagi. Isteri, Genervie Kam Shi Ling nasihatkan saya agar membuka sebuah syarikat untuk urus keluar masuk duit.

“Alhamdulillah, ketika PKP, saya guna duit yang disimpan untuk kelangsungan hidup,” jelasnya.

Kata Hazama, seperti individu lain, dia dan isteri terkesan dengan pelaksanaan PKP apabila industri hiburan ditutup dan mengakibatkan ramai penggiat seni hilang punca pendapatan.
“Masa PKP saya juga terkesan. Tetapi tidaklah terlalu terbeban.

“Sejak kenal isteri, dia banyak nasihatkan agar belanja untuk sesuatu yang kita perlu sahaja,” katanya.

Mengusahakan perniagaan menjual makanan termasuk laksa yang dihasilkan si isteri, Hazama memberitahu aktiviti tersebut dilakukan secara sambilan dan kecil-kecilan.

Kata Hazama, dia berhasrat untuk mengembangkan perniagaan yang diusahakan. Namun katanya, buat masa ini, belum mampu fokus ke arah itu kerana tumpuan sepenuhnya masih perlu diberikan kepada dunia seni.

“Kami jual laksa dan biskut sejak PKP lagi. Masa itu berniaga dari rumah.

“Memang teringin nak buka restoran memandangkan saya juga pernah bekerja dalam bidang yang sama sebelum bergelar penyanyi.

“Tetapi fokus masih kepada bidang seni. Sekarang ini kekangannya adalah modal. Kalau ada, Insya-Allah,” katanya.

Cerita Hazama lagi, perniagaan tersebut diusahakan bukan kerana tiada kerja.

Sebaliknya, penyanyi berusia 37 tahun ini menegaskan aktiviti tersebut, yang diusaha secara sambilan perlu diteruskan sebagai punca pendapatan sampingan.

“Alhamdulillah, semenjak endemik, tawaran kerja semakin banyak. Masa PKP kami berniaga dan dapat sambutan. Rugi kalau kami tak teruskan.

“Mungkin perniagaan ini boleh dikembangkan. Sebab itu kami cuba, buka gerai masa bulan Ramadan lalu.

“Ingin saya maklumkan, ini adalah perniagaan isteri saya. Saya bantu sedikit demi sedikit. Modal pun tak besar. Bagus juga, ada sedikit pendapatan selain sumber rezeki dalam dunia seni,” ujarnya.

Cerita Hazama lagi, pengalaman berniaga ketika usia muda banyak memberi manfaat dan memudahkan dia untuk membantu isteri menguruskan perniagaan mereka.

“Buat masa ini saya tak perlu upah pekerja, lebih elok urus sendiri. Lebih jimat kerana perniagaan kami ini juga tak guna modal besar.

“Saya tak kisah, jaga gerai sendiri sebab saya, sebelum bergelar penyanyi, sudah berniaga. Pernah bantu rakan jual burger manakala ibu bapa saya jual air tebu di bazar Ramadan. Jadi bila, PKP dilaksanakan, saya tak segan berniaga semula.

“Saya sudah biasa dengan persekitaran begitu. Memang seronok,” ceritanya.

Fokus lakonan
Penyanyi lagu Relakan Jiwa ini mengakui, selepas 10 tahun, dia merasakan kini sudah relevan untuk dirinya menjadi pelakon.

Katanya, dia perlu keluar dari zon selesa, terjun ke dalam bidang selain nyanyian.

“Sebagai penyanyi, ramai yang sudah tahu apa yang boleh saya lakukan. Saya akui, saya selesa menyanyi. Tetapi sekarang, saya fokus lakonan pula.

“Saya kena cuba bidang yang diluar keselesaan saya. Jadi, daripada saya duduk rumah, buat lagu sahaja. Elok saya jadi pelakon pula,” katanya.

Mengulas tentang projek lakonan terbaru, kata Hazama kini dia terlibat dengan sebuah drama baharu arahan Haji Boy yang telah memulakan penggambaran sejak bulan lepas.

“Drama itu bertajuk Epilog 3 Naga dengan 24 episod keseluruhannya. Insya-Allah penggambaran akan berlangsung selama 72 hari dan akan tamat selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

“Saya terima tawaran ini kerana watak yang diberikan lain dengan yang pernah saya lakonkan sebelum ini,” kata penyanyi bersuara serak ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya