PETALING JAYA: Baru selesai menjalani pembedahan selepas diserang penyakit Apendiks, pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, memaklumkan dirinya kini mengalami keradangan di bahagian rahim selepas dikenal pasti doktor.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon drama Kau Cipta Kasih itu menerusi Instastorynya.
Menurut Uyaina, dia yang kini masih dirawat di hospital terpaksa mengambil ubat tahan sakit bagi mengurangkan rasa sakit yang dialami.
“Assalamualaikum semua. Apendiks saya telah pun berjaya dikeluarkan.
“Tetapi malangnya terdapat keradangan di sekitar dinding rahim.
“Saya masih lagi dirawat di hospital dan bergantung kepada ubat tahan sakit,” katanya.
Mengulas lanjut, dia juga disarankan doktor agar tidak terlalu kerap mengambil ubat tersebut kerana kesan sampingannya dapat membahayakan bayi dalam kandungan.
Isteri kepada pelakon dan penyanyi, Raja Syahiran itu juga meminta orang ramai agar mendoaka dirinya.
“Tapi doktor pun tidak boleh nak bagi ubat tahan sakit setiap waktu sebab bahaya untuk bayi.
“Buat masa ini, saya terpaksa menahan dan berjuang melawan rasa sakit.
“Mohon doakan untuk saya,” coretnya panjang.
Sebelum ini, pengacara program Wanita Hari Ini itu memaklumkan perutnya berasa amat sakit sehingga sukar untuk bergerak.
Sekadar informasi, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 21 Disember tahun lalu dan Uyaina kini sedang hamil cahaya mata sulung mereka.