PETALING JAYA: Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, tampil menjelaskan isu mengenai penggunaan perkataan ‘hauk’ bagi menggambarkan tahap pelitup muka pasaran di luar sana, sehingga menerima kecaman warganet tempoh hari.
Perkara tersebut dikongsikan menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri itu menerusi entri Instagram miliknya.
Menurut Jovian, dia memberitahu maksud sebenar penggunaan perkataan tersebut bagi merujuk pelitup muka tiruan jenamanya yang kini berleluasa di pasaran.
Dia juga sama sekali tiada niat ingin memperkecilkan para peniagaan pelitup muka di luar sana berhubung kenyataan yang dikeluarkan, sebelum ini.
“Saya nak menjelaskan sedikit mengenai pelitup muka ‘hauk’ tempoh hari. Banyak yang salah faham, apa yang saya maksudkan itu ialah pelitup muka ‘Jovian Mask Tiruan’ yang berleluasa di pasaran.
“Tiada ada niat saya nak memperkecilkan mana-mana jenama pelitup muka lain di pasaran. Lebih dua tahun Jovian Mask tiruan berada di pasaran mengambil kesempatan menggunakan reka bentuk, monogram kami, gambar promosi nama, serta logo kami untuk kepentingan masing-masing sehingga menipu pengguna.
“Saya rasa sesuai lah saya gunakan istilah ‘hauk’ itu kepada mereka ini. Ini semua kerja mafia! Tetapi, kalau ada yang tersinggung dengan kenyataan saya, tiada niat nak guris hati anda,” katanya di Instagram.
Mengulas lanjut, Jovian turut menjelaskan mengenai isu Sirim yang menyifatkan bukan permintaanya untuk mengaut keuntungan yang lebih hasil daripada penjualan produknya itu.
“Isu Sirim, bukan permintaan saya mahupun keuntungan bagi saya. Untuk makluman, apabila ia dilaksanakan, kos akan ditanggung oleh penjual. Dari mana pula saya akan untung lebih?
“Dan saya juga boleh memberi jaminan kepada anda semua bahawa jenama saya bukanlah yang pertama mempunyai cop sirim.
“Banyak jenama di luar yang sudah ada cop sirim. Kita ini baru sahaja hendak memohon,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jovian memberi peringatan kepada orang ramai agar menjaga tutur kata dan melakukan selidik sebelum menaburkan fitnah terhadap peniagaannya.
“Saya harap isu ini habis di sini. Siapa yang sudah menyumpah saya, lain kali selidik dan tanya dulu.
“Namun begitu, saya doakan anda semua panjang umur dan bahagia dunia akhirat,” coretnya panjang.
Menerusi ruangan komen, rata-rata warganet meninggalkan reaksi yang tidak enak walaupun usahawan tersebut memberikan penerangan panjang lebar mengenai isu tersebut.
Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan penangguhan penguatkuasaan perakuan dan penandaan MS Sirim bagi pelitup muka bukan perubatan yang dijadual bermula 4 Julai ini kepada 1 Januari tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keputusan mengenai penguatkuasaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas umum.