KUALA LUMPUR : Suami Noor Neelofa, Pencetus Ummah (PU) Riz atau Haris Ismail menjelaskan, dia tidak melarang isterinya itu untuk kembali aktif dalam bidang seni terutama dunia pengacaraan.
Bagaimanapun, dia sentiasa berpesan agar Neelofa berhati-hati dalam sebarang tawaran yang datang agar ia sesuai dengan imej dan penampilannya kini.
“Alhamdulillah, kita dah diskusi benda ini (had kembali aktif) begitu terperinci dalam setiap perkara. Terutama sekali imej agama yang dibawa, kena banyak berhati-hati.
“Lofa Alhamdulillah, boleh ikut. Pakaian pun, dia taatlah pada perintah Allah. Jadi, kita bagi dia ruang untuk dia berkarya dalam benda-benda dia dah biasa buat,” katanya.
PU Riz bersama Neelofa ditemui di majlis berbuka puasa bersama media di Restauran Cili Kampung Hartamas, Petaling Jaya, pada Khamis.
Sementara itu, Neelofa memberitahu dia bakal tampil dalam beberapa buah program bual bicara yang masih dalam proses perbincangan.
Biarpun bakal kembali aktif, namun usahawan berusia 33 tahun itu tetap mahu menjalankan rutin sebagai seorang ibu dengan mengutamakan anaknya terlebih dahulu.
“Insya-Allah saya pun dah berbincang dengan suami, mungkin saya akan keluar program bual bicara. Sekarang masih dalam proses perbincangan.
“Masih lebih kepada bisnes tapi keutamaan kami adalah Bilal. Saya pun tak nak dia lama-lama dengan pembantu. Saya nak jalankan rutin sebagai ibu itu lebih daripada yang lain.
“Kalau berbisnes pun boleh buat dekat rumah, jarang-jarang kena pergi mesyuarat atau penggambaran. Sama juga program dalam industri ini pun, tak makan masa,” ujarnya.
Sementara itu, disoal mengenai perancangan zuriat seterusnya, Neelofa memberitahu dia dan suaminya sememangnya mahukan cahaya mata lagi malah sentiasa menerima rezeki yang Allah berikan.
“Perancangan anak seterusnya. Kita nak anak lagi. Terima dan terima dan terima,” katanya.
Untuk info, bekas pengacara program MeleTOP itu selamat melahirkan bayi lelaki bernama Muhammad Bilal di sebuah pusat perubatan [ada 31 Januari lalu.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Haris Mohd Ismail, 28, pada 27 Mac 2020.