PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sohor kini di platform Twitter apabila namanya tersenarai Top 100 Most Awarded Musicians of All-Time.
Menurut Siti, dia menzahirkan rasa gembira apabila namanya tersenarai dalam anugerah tersebut.
Selain itu, penyanyi lagu popular Jerat Percintaan itu turut memberi penghargaan buat pemilik akaun Twitter The Artist Museum kerana inisiatifnya membuat kajian terlebih dahulu jumlah anugerah yang diperoleh artis-artis yang tersenarai.
“Saya hargai usaha pemilik akaun Twitter itu. Saya percaya pemilik akaun tersebut membuat senarai berdasarkan kajian, pembacaan perkembangan setiap artis.
“Apa yang dipaparkan adalah bilangan senarai anugerah yang diterima artis dan secara tidak langsung saya turut gembira kerana turut tersenarai dan ada yang mengikuti perkembangan saya di dalam industri muzik.
“Apa pun terima kasih kerana pemilik akaun tersebut telah membuat semakan berapa jumlah anugerah diperolehi artis sama ada luar atau dalam negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, rata-rata peminat penyanyi legenda itu teruja selain mencoretkan ciapan tahniah buat Siti.
“Wow, tahniah Datuk Seri Siti Nurhaliza, dahsyat betul masuk dalam senarai ini,” ciap seorang pengguna.
“Yang awal-awal dahulu mereka cakap ‘penyanyi kampung’, kini dia adalah salah seorang legenda Asia yang sebenar! Siti Nurhaliza mendunia!” ciap juga pengguna lain.
“Wow, @CTNurhaliza11 carta 30 dalam dunia. Satu-satunya artis Malaysia dalam senarai. Bangga dengan awak,” ciap peminatnya.
Menerusi Twitter The Artist Museum, Siti berjaya menduduki tempat ke-27 dengan jumlah 329 anugerah yang pernah diterimanya sepanjang berada dalam industri muzik tanah air.
Sekaligus, penyanyi lagu Popular Cindai itu mengalahkan penyanyi terkenal antarabangsa seperti Justin Timberlake, Usher serta Nicky Minaj, di mana masing-masing berada di kedudukan ke-28,29 dan 30.
Untuk rekod, Siti adalah artis Malaysia yang paling banyak menerima anugerah.
Malah, rekod Siti Nurhaliza dipahat ke dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2001 dan kekal
pemegang rekod sehingga kini.
Sekadar informasi, menerusi sumber perkembangan muzik antarabangsa itu turut mengangkat penyanyi berpengaruh antarabangsa, Michael Jackson, berjaya berada di kedudukan pertama dengan berjaya merangkul sebanyak 1003 anugerah sepanjang kerjaya seninya.