PETALING JAYA: Pelakon, Sherry Ibrahim mendedahkan penyertaan The Masked Singer Malaysia 2 adalah sebuah pencapaian yang membanggakan walaupun terpaksa memikul pelbagai cabaran.
Sherry yang memakai kostum sebagai Si Merak mengakui, penyertaan program tersebut bukan perkara yang mudah kerana perlu memberi sepenuhnya tenaga dan mengawal emosi.
Malah, dia juga memberitahu terpaksa membohongi dan mengelirukan kenalan rapatnya apabila dirinya selalu ditanya mereka, setiap minggu.
“Ini adalah satu pencapaian yang bangga buat diri saya walaupun pernah menyertai program lain sebelum ini. Tetapi program ini saya bangga sangat kerana agak sukar untuk dilakukan.
“Ditambah lagi dengan mental dan fizikal perlu fit untuk menyertai program ini. ia bukan kerana tenaga yang kita perlu beri, tetapi pada masa sama perlu mengawal emosi.
“Setiap minggu juga harus memberi sesuatu kelainan malah terpaksa mengelak dengan mereka yang rapat dengan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, dia menzahirkan rasa terharu dan menitipkan rasa sayang apabila para kenalannya mempercayai dirinya, kerana benar-benar mengenali air muka pelakon itu.
“Sebenarnya, setiap hari Jumaat rakan-rakan mencari saya. Sama ada, mereka akan membuat panggilan video, menghantar pesanan menerusi aplikasi Whatsapp ataupun hubungi kerana ingin mengetahui saya di mana.
“Ia sesuatu yang kelakar kerana saya pula sejenis yang tidak pandai menipu dan mereka tahu air muka saya bagaimana. Saya jadi tidak tahan hendak ketawa apabila saya terpaksa berterusan menafikan apabila ditanya mereka.
“Rakan-rakan saya juga boleh keliru kerana mereka percayakan saya. Tetapi bila terjadi seperti ini, saya lagi sayang dengan mereka yang betul-betul tidak tahu dalam kostum itu adalah saya. Ia kerana, mereka ini betul-betul mengenali saya,” kongsinya lagi.
Mengulas lanjut, pelakon drama Syurga Yang Kedua itu turut menitipkan kesyukuran kerana berpeluang menjejak kaki sehingga ke peringkat separuh akhir, walaupun jadual harian yang sibuk.
“Walaupun saya sibuk dengan urusan kerja harian. Alhamdulillah, saya tidak sangka dapat ke semi final kerana peserta-peserta lain hebat belaka.
“Setiap perkara yang saya ceburi, apabila kita membuat dengan bersungguh-sungguh mungkin perkara itu akan menjadi rezeki.
“Saya pun tidak sangka program ini sangat mendapat sambutan untuk Si Merak, dia disayangi. Penonton dapat melihat saya menari melompat dan tidak mungkin mereka dapat merasakan itu ‘Sherry’. Tetapi Si Merak itu adalah diri saya yang sebenar,” tuturnya.
Sebelum ini, minggu separuh akhir The Masked Singer Malaysia 2 menyaksikan Si Merak gagal melangkah ke pentas akhir.
Segala teka-teki terjawab kerana gerangan figura disebalik Si Merak adalah Sherry Ibrahim.