KUALA LUMPUR : Pelakon Amar Baharin dan Amyra Rosli sekali lagi dilanda ujian apabila anak kedua mereka iaitu Ayra Aryssa mengalami demam panas sehingga terpaksa dibawa ke hospital Prince Court, Kuala Lumpur sekitar 1 pagi tadi.
Sebelum ini, kedua-dua selebriti ini diduga dengan jangkitan Covid-19 pada Januari lalu dan kerana itu, Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin meluahkan rasa bimbang melihat keadaan anak perempuannya yang sehingga kini masih tidak diketahui punca demam panas itu.
“Arysasa mengalami demam panas. Suhu badannya tinggi sehingga mencecah 41 darjah selsius. Melihat keadaan itu, kami terus bawa dia ke hospital Prince Court, KL pada sekitar 1 pagi tadi.
“Sehingga kini, Aryssa masih ditahan wad dan pagi tadi baru jumpa doktor. Keadaan dia masih dipantau doktor. Kami tak buat ujian calitan sebab dia pun baru baik dari Covid-19.
“Tiba-tiba demam panas dan tak tahu punca dia apa. Itu yang membuatkan kami risau sangat,” katanya.
Terdahulu, pasangan selebriti itu memuat naik foto keadaan anak mereka yang terlantar sakit di sebuah hospital di laman Instagram masing-masing pada hari yang sama.
Perkongsian itu mendapat perhatian pengikut, netizen serta rakan selebriti yang mendoakan agar anak perempuan pasangan itu diberikan kesembuhan dengan cepat.
“Saya dan Amyra tak dapat nak teman dia di hospital sebab kami berdua ada penggambaran… kebetulan jadual padat pula. Sekarang ini, mak saudara Aryssa yang teman di hospital,” ujarnya.
Sebelum ini, Amyra mengalami sakit sendi dan lebam di beberapa bahagian tubuhnya selain batuk tidak henti menyebabkan dia terpaksa berehat daripada menjalani penggambaran drama Jangan Menangis Cinta.
Amar juga memaklumkan keadaan itu tidak pernah berlaku dan isterinya juga telah menjalani pemeriksaan namun keputusan ujian darah dalam keadaan baik.
Berkongsi keadaan kesihatan Amyra terkini, Amar melahirkan rasa syukur apabila isterinya sudah kembali sihat selepas menjalani rawatan di hospital dan perubatan Islam.
“Alhamdulillah, Amyra pun dah mula bekerja dan menjalani penggambaran sejak kelmarin. Keadaan dia pun dah sihat macam biasa. Syukur tak berpanjangan sakit dia itu.
“Memang kami ada ikhtiar dua cara. hospital dan perubatan Islam. Alhamdulillah, dia pun dah sihat dan dapat bekerja seperti biasa,” katanya.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada November 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aqeef Anaqi, 4 dan Ayra Aryssa yang kini berusia dua tahun.