Saya juga bergelut untuk berada di tahap ini.. - Amyra Rosli - Utusan Malaysia

Saya juga bergelut untuk berada di tahap ini.. – Amyra Rosli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA, amat jarang untuk melihat atau mendengar pelakon ini melontarkan suara atau bersikap terlalu vokal untuk sebarang isu berkaitan industri.

Sama ada dia tidak begitu berani atau sememangnya menjadi satu prinsip diri untuk cuma menyimpan apa sahaja pandangan peribadi meski ada kala, isu yang berlaku itu terjadi di depan mata dan telah menggegarkan seantero industri.

Sebagai anak seni, bohong amat kalau diandaikan dia tidak tahu menahu apa yang sedang hangat diperkatakan di ruang media sosial membabitkan dunia hiburan.

Tetapi bagi Amyra Rosli, dia lebih senang untuk tidak berada di mana-mana pihak. Itu adalah pilihannya sendiri lantaran tidak mahu terjebak dengan pertemuan salah faham sementelah akhirnya masing-masing akan berjumpa di ruangan industri yang kecil ini.

“Tentulah saya tahu apa orang sedang fokus pada isu hangat apa sekarang di pelbagai ruang media. Tak mahu sebut nama atau naskhah apa. Tapi bagi saya, terpulang kepada cara masing-masing nak bawa sesuatu naskhah itu bagaimana.

“Kalau dia rasa tak ada kesan untuk dirinya, mengapa tidak? Dia boleh pergi dan buat kerana berani. Lagipun, mulut netizen ini, kita buat benda baik atau jahat sekalipun, mereka tetap akan berkata.

“Jika orang tanya, adakah saya seorang pelakon berani untuk membawakan watak ‘daring’ sebegitu? Terus-terang, saya mengelak,”katanya.

Sedikit demi sedikit mula terbuka melontarkan pandangan, kata Amyra, dia sentiasa percaya seseorang artis atau pelakon itu mempunyai pilihan meski tahu ada sesetengah watak yang diberikan, mungkin memerlukan mereka untuk beraksi romantik di layar kaca.

“Macam saya, kalau ada babak romantik atas katil dan perlu melakonkan watak suami isteri, saya akan cuba elak untuk berlebihan. Sebab? Saya sedar status diri yang yang kini sudah bersuami dan ada anak.

“Tapi itu cara dan pilihan saya. Kalau ada pelakon lain yang nak lakukan, itu pilihan mereka. Berani. Tapi bersedia atau tidak sajalah untuk kena kecam,”katanya.

Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada penggerak industri seni tanah air, Amyra tidak dapat menolak bahawa terbit sedikit kehampaan dengan apa yang sedang diperbalahkan di ruangan media sosial saban hari tentang dunia hiburan.

Bagi pelakon ini, seiring dengan perubahan zaman dan gaya hidup kini, semakin ramai yang ingin bergelar wira papan kekunci dan menyorok di sebalik alam maya.

“Terlalu banyak nak jadi keyboard warrior dan kita ini sampai tak ada kuasa nak halang. Sebab itulah saya ambil jalan tak peduli sangat pun. Dulu, masa saya pernah kena gosip atau apa, kalau perasan, saya jarang membalas. Apa yang terjadi sekarang ini di media sosial, bahaya.

“Dalam keghairahan netizen mengecam dan berkata itu ini terhadap golongan artis, sebenarnya itu semua berbalik kepada sikap mereka sendiri dan bukan cuma artis. Bagaimana seseorang itu melontarkan reaksi dan memanipulasi akan sesuatu isu yang berlaku.

“Kalau baik, baiklah, kalau buruk maka buruklah. Ia semua akan mencerminkan mentaliti netizen itu sendiri. Adakala perkara yang tak perlu kita nak sibukkan atau ambil tahu, mereka suka ambil tahu. Bila cerita jadi panjang, maka ia akan jadi lebih parahlah walaupun asalnya ia tidak mengapa-apa,”katanya.

Memberikan contoh apa yang berlaku dalam drama Jangan Menangis Cinta, kata Amyra, sekarang ramai yang bercakap dan mengecam watak yang dilakonkan oleh Kiah Propa yang didakwa terlalu banyak menjerit-jerit namun tidak ramai yang ingin menggali sebab ia dipotretkan.

“Kita boleh lihat di situ, bagaimana terlalu ramai netizen bersikap judgemental atau mudah menghukum. Baru tengok episod lima, kemudian kata tak nak tontonlah, nak banned drama itulah. Kenapa ya tak boleh sabar untuk tengok keseluruhan jalan cerita sebelum melontarkan komen?

“Bukankah dengan cara itu lebih matang? Kalau terlalu bersikap mudah menghukum, saya rasa ia tidak akan membawa kebaikan pun apatah lagi daripada aspek kesihatan. Tak baik untuk otak dan hati.

“Kalau nak tahu, saya ini selalu tertanya-tanya, kenapa ya susah sangat orang-orang begini nak nampak sudut positif pada diri orang lain? Bila asyik negatif sahaja, saya rasa dirinya yang ada masalah. Ia akan berbalik kepada cerminan diri sendiri,”katanya.

Hargai rahmat dan berkat

Selain itu, kongsi Amyra, sepanjang 13 tahun aktif dalam dunia seni hiburan, sekali pun dia tidak pernah sampai hati untuk menconteng arang di wajah keluarga terutama kedua orang tuanya, Rosli Ahmad dan Noor Zaridah Ahmad.

Kata Amyra, walaupun dirinya mungkin bergelut untuk berada di tahap sekarang, tanpa berkat doa dan restu ibu dan ayah, tidak akan mungkin semua kejayaan dan keselesaan yang dinikmati pada waktu ini akan tercapai.

Begitu mementingkan keluarga dan menghormati kedua orang tuanya, Amyra menganggap selagi ibu dan ayahnya masih ada, selagi itulah Allah SWT meminjamkan keramat hidup buatnya.

“Saya ini sangat menjaga nama baik ibu dan ayah. Kalau nak berjaya tapi diiringi pula dengan cerita tak baik atau kelakuan tak senonoh, itu sudah tentu akan merosakkan nama keluarga. Sebab itulah berulang kali saya beritahu, memang saya tak ada kawan sangat dalam industri.

“Itu satu daripada cara sata untuk kekal berada dalam ruang ini. Sebenarnya bukan mudah untuk jadi saya. Nampak tenang sahaja di media sosial, tapi sebenarnya seorang yang sangat berusaha keras untuk bahagiakan keluarga dan nak bagi semua orang gembira.

“Saya pun menyara keluarga besar, ayah dah pencen, adik pun baru seorang saja yang kerja, jadi saya memang kena kerja walau apa pun yang terjadi untuk keluarga,”katanya.

Tidak berasa terbeban melakukan semua itu, kata pelakon ini, dia sudah terbiasa bekerja sejak dari sekolah rendah dan kepuasan itu dirasai apabila berupaya membuatkan keluarganya tersenyum bahagia.

“Saya rasa lagi seronok bila tengok muka ayah dan ibu gembira. Merekalah juga yang tolong saya dan sokong kerjaya ini. Daripada dulu, mereka bawa saya pergi set penggambaran dan jaga saya. Sekarang saya dah ada pembantu peribadi, tetapi anak-anak dijaga pula oleh mama semasa saya keluar kerja.

“Kenapa pula saya nak mengeluh rasa terbeban. Allah SWT dah susun cantik jalan hidup saya itu dan tiada salah pun untuk saya memberi semula kepada keluarga. Saya percaya, selagi ibu ayah kita hidup, doa merekalah yang kita perlukan.

“Saya harap semua orang yang nak berjaya, hargailah doa ibu ayah. Saya ini, sampai sekarang, setiap hari mesti minta mama doakan. Memang kita usaha bekerja, cari duit, tapi doa mama buatkan hidup saya lebih berkat. Itu yang saya mahu dan tak nak putus-putus,”katanya.

Nasib anak sekolah seni

Masih membawa Amyra untuk berbicara mengenai ruang industri, kali ini pertanyaan mengenai nasib anak sekolah seni pula dilayangkan kepada pelakon ini.

Relevanlah kerana dia juga merupakan seorang daripada ribuan graduan sekolah seni dan bergelar produk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Amyra adalah antara yang dilihat berjaya menempatkan diri pada kedudukan sebenar, menjadi pemain industri.

Melihat kepada situasi bila mana wujudnya banyak pertanyaan dan hujah mengenai anak sekolah seni yang tidak dapat menembusi industri berbanding orang yang tular dengan perkara dangkal, Amyra juga bersetuju akan hal itu.

Pun begitu, dia lebih suka untuk meringkaskan perkara itu kepada faktor tuah dan rezeki selain mengaku, walaupun dia merupakan produk sekolah ASWARA, agak lama juga tempoh masa yang harus dilalui untuk tiba ke tahap ini.

“Masih saya ingat, semasa di kolej, ada sahaja kalangan pelajar lain yang memiliki pakej lengkap, cantik bak puteri, ada bakat, tapi dia tak dapat tembus juga industri sebagai pelakon. Itu bukan sebab dia tidak berusaha untuk masuk industri, tetapi mungkin sahaja ternyata bukan rezekinya di situ.

“Ada ramai sahaja anak sekolah seni yang akhirnya tidak bergelar anak seni dan pergi kepada cabang lain. Ada yang jadi usahawan dan sebagainya. Allah SWT sudah aturkan rezeki mereka di situ.

“Saya sendiri pun bergelut nak sampai ke tahap ini. Kata kuncinya jangan putus asa. Orang suka atau tidak, teruskan mencuba. Jangan juga terlalu mengharap pada satu-satu cabang bidang sebab nanti bimbang akan sedih,”katanya.

Pendek kata, kata Amyra, dia sentiasa percaya individu yang datang daripada sekolah seni tidak semestinya cuma boleh mencipta kejayaan dalam bidang seni semata.

“Ramai antara kami yang sukses dalam pelbagai bidang dan itu adalah sesuatu yang bagus. Kita kena tahu meraih peluang yang datang dan gunakan kemahiran yang ada sebab semua orang boleh mencipta sukses mereka sendiri, cuma cara dan arahnya apa? Kena tahu,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya