KUALA LUMPUR: Bersempena bulan Ramadan yang mulia, Royale Chulan Kuala Lumpur mengambil inisiatif, menyantuni anak-anak Pertubuhan Kebajikan Nur Hati menerusi program berbuka puasa yang diadakan di hotel tersebut, baru-baru ini.
Pengurus Besar Royale Chulan Kuala Lumpur, Badrul Rezal Baharudin berkata, program seumpama itu merupakan usaha yang dilaksanakan pada setiap perayaan dan sambutan.
“Kami terpanggil untuk menjemput anak-anak dari pertubuhan yang diuruskan oleh selebriti tanah air, Syed Muradzi Syed Shamsul atau lebih dikenali sebagai Dee, berbuka puasa di Royale Chulan Kuala Lumpur.
“Usaha menyantuni rumah-rumah kebajikan tidak hanya dilaksanakan pada bulan Ramadan, malah pada sambutan dan perayaan lain termasuk Hari Raya Aidilfitri dan Krismas,” katanya.
Dalam masa yang sama, Badrul memaklumkan pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan sepanjang bulan Ramadan.
Antaranya seperti program agihan makanan kepada gelandangan dan golongan memerlukan.
“Usaha itu juga melibatkan kerjasama Kechara Soup Kitchen. Pihak mereka membantu kami mengagihkan makanan yang siap dibungkus kepada gelandangan dan golongan memerlukan.
“Selain itu, pihak kami juga menyediakan ruang khas untuk aktiviti solat tarawih dan menempatkan kaunter untuk urusan bayaran zakat,” katanya lagi.