Purbawara bukan pendakwah - Utusan Malaysia

Purbawara bukan pendakwah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

METAL mempunyai peranan yang besar dalam perkembangan muzik rock. Di Malaysia sendiri, metal pernah menjadi tempat berteduh para mat rock yang kecewa dengan ‘kepalsuan’ rock kapak. Ini dicatatkan dalam artikel Dari Rock ke Metal: Satu Perjalanan Hidup atau Kenapa Rock Kapak Disanjungi tetapi Kemudiannya Dibenci oleh Dr. Ibrisam Akbar.

Pengasas kugiran metal, Langsuir itu merekodkan pengalaman peribadinya yang kecewa dengan perkembangan rock kapak yang semakin bersih, meleleh dan hilang jati diri sehingga dia beralih kepada muzik metal yang lebih tulen di matanya.

Metal di Malaysia tidak pernah ‘diizinkan’ untuk didengar massa. Jika ada pun, beberapa putaran atau segmen khas di radio yang memutarkan lagu-lagu heavy rock yang juga sangat popular di Barat. Untuk dengar jeritan kugiran death metal atau black metal di radio, masuk mimpi rakyat Malaysia pun belum mampu.

Jalan sukar
Namun, sejak 1980-an, Malaysia tidak pernah gagal melahirkan kugiran metal. Dalam sekumpulan manusia patuh, pasti ada yang berontak. Jumlahnya tidak ramai tetapi lapangan muzik metal di Malaysia sentiasa hidup.

Obor diarak dan diserah untuk terus diarak. Begitulah perkembangan muzik metal di Malaysia. Dari satu generasi ke satu generasi, lapangan itu terus hidup dalam sukar. Dari Langsuir sampai Massacre Conspiracy, obor metal terus diarak.

Purbawara antara kugiran metal yang menyambut obor dari generasi sebelumnya. Mereka tampil dengan bergaya: lagu yang mantap, lirik yang menggemparkan dan video muzik yang berkualiti. Ia seakan isyarat bahawa obor metal akan terus menyala di Malaysia.

Bukan pendakwah
Saya tidak dapat menemu bual semua anggota Purbawara. Hanya vokalisnya, Zid yang hadir kerana anggota lain ada urusan kerja dan berada jauh di Johor Bahru.

Purbawara, secara ringkasnya, ialah penjenamaan semula Bloody Situations yang mula aktif pada 2013. Bermula dengan album Aphorism pada 2018, kugiran itu dikenali sebagai Purbawara, namun mengekalkan konsep dan genre yang sama.

Mungkin ada yang membandingkan mereka dengan Daarchlea – tambahan lagi selepas Zid menyertai mereka – namun tegas Zid, Purbawara adalah berbeza dengan Daarchlea dan mempunyai identiti yang tersendiri.

Keunikan utama mereka terletak pada lirik yang membawa mesej ke arah kebaikan dan pekat juga pengaruh Islamnya. Ada yang menganggap mereka berdakwah walaupun membawakan genre melodic death metal.

“Untuk mendakwa kami sebagai pendakwah, ia tidak sepenuhnya betul sebab kami lebih kepada penyumbang. Seni adalah tentang menyumbang sesuatu ke arah kebaikan dan masyarakat yang lebih baik. Agama itu berbeza.

“(Apa yang kami tulis) anda tidak boleh ambil seratus peratus. Kami cuma memulakan perbincangan untuk anda gali lebih dalam, dapatkan pengetahuan. Kami cuma mencetuskan (pencarian) ilmu untuk anda,” jelas Zid.

Jerit sebagai seni
Nyanyian gaya jeritan memang sangat janggal di Malaysia. Kemunculan Riko dari Sekumpulan Orang Gila (SOG) di pentas AJL juga sudah mengejutkan ramai orang walaupun bahagian jeritannya tidaklah banyak. Bayangkan jika kugiran death metal seperti Purbawara yang keseluruhan nyanyiannya adalah jeritan disajikan di media massa. Ramai yang makan kerepek sambil menggigil agaknya.

Mungkin ada yang persoal, bagaimana Purbawara mahu menyampaikan mesej dalam liriknya jika sebutan dalam jeritannya tidak jelas. Ini jawapan Zid.

“Untuk menghayati seni, tak boleh guna satu cara saja. Anda perlu guna pancaindera, kelima-lima deria untuk faham semuanya. Dalam metal, tak semua orang faham jeritan, permainan bass atau gitarnya.

“Sebab itu, jika anda minat satu muzik, anda tidak faham, anda perlu lihat lebih dalam muzik itu.

“Ada vokal anda dengar jelas, berikan anda mood. Vokal jeritan saya juga berikan anda mood. Kami mengekspresikan emosi yang kami mahu beri peringatan kepada anda dengan cara yang lebih agresif.

“Jeritan ada inti emosi. Ini sifat semula jadi kita. Bila awak marah, awak jerit, ada rasa sakit? Tidak, sebab ia semula jadi, semua orang boleh buat. Bila awak marah pun, orang tak faham,” jelasnya.

Dirgahayu metal Malaysia

Zid menyifatkan lapangan muzik metal Malaysia mula merudum pada 2015. Kugiran yang ada seperti Maddthelin, Daarchlea, Tres Empre dan Massacre Conspiracy mula kurang aktif. Kini, bersama Purbawara dan barisan kugiran metal lain, kegemilangan itu akan cuba dikecap semula.

Kejayaan SOG dalam AJL boleh jadi pemula. Yang penting ialah penerimaan masyarakat yang dahulunya dihasut bahawa muzik metal itu sesat dan negatif.

Nyanyian jeritan itu seni. Hentak dram yang pantas itu seni. Riff gitar yang keras juga seni. Muzik metal hanyalah ekspresi seni, tidak lebih dari itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya