PETALING JAYA – Pengaruh, kredibiliti dan pengalaman yang dmiliki antara faktor pendakwah selebriti popular, PU Amin dan PU Riz dilantik sebagai pensyarah kanan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di YEG Academy.
Tawaran yang diberikan itu, disambut baik oleh PU Amin dan PU Riz sementelah kedua-dua mereka mempunyai misi yang sama iaitu berdakwah dan menarik lebih ramai anak muda ke arah bidang berasaskan islamik.
PU Amin atau nama sebenarnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim yang telah tiga tahun berkhidmat sebagai pensyarah kanan di YEG Academy, mendedahkan dia bersetuju untuk memikul peranan tersebut kerana mahu berkongsi manfaat bersama golongan muda.
Malah, pengalamannya sebagai mutawif dianggap sebagai aset terbaiknya untuk bergelar seorang pensyarah kanan dalam bidang tersebut.
“Saya berpengalaman dalam bidang umrah dan menjadi mutawif selama sembilan tahun. Pendidikan adalah salah satu bidang yang dekat dengan jiwa saya.
“Justeru, saya terima tawaran ini dan mahu berkongsi manfaat bersama para pelajar. Tambahan trend hari ini lebih ramai orang muda menunaikan umrah, jadi permintaan terhadap mutawif muda cukup tinggi,” ujar PU Amin.
Disoal tentang kelayakannya untuk menjadi pensyarah kanan pengkhususan tersebut, jelas PU Amin selain mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Mesir dia juga memiliki ijazah sarjana dari Open University Malaysia dalam bidang Pengajian Islam.
“Kelayakan untuk menjadi pensyarah kanan di kolej sudah mencukupi dan tiada isu. Berbeza jika universiti awam untuk menjadi pensyarah kanan kelayakan yang diperlukan adalah Doktor Falsafah (PHD),” tutur PU Amin.
Selain PU Amin, seorang lagi pendakwah selebriti, Haris Ismail atau PU Riz turut dilantik sebagai pensyarah kanan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah tersebut pada tahun ini.
Pengasas YEG Academy, Hasan Ithnin berkata, pemilihan dua pendakwah selebriti berkenaan bukanlah kerana popularti semata-mata, sebaliknya mereka turut berkongsi perjuangan yang sama dengan pihaknya.
“Pihak kami tidak mengambil mereka berdua sebab popular sahaja, tetapi kami duduk berbincang dan melihat misi kehidupan yang diinginkan.
“Malah, kami mewujudkan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah ini bukan kerana wang tetapi terdapat perjuangan yang perlu diteruskan sebagai orang Islam.
“Insya-Allah dengan adanya gandingan PU Amin dan PU Riz yang merupakan dua ikon muda diharap pihak kami dapat melahirkan anak-anak muda yang luar biasa dalam pengajian ini,” ujar Hasan.
Menariknya, pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di YEG Academy akan dihantar ke Mekah dan Madinah untuk menjalani latihan industri di sana bersama syarikat pelancongan islamik terkemuka seperti Andalusia Travel and Tours.
“YEG Aacademy adalah kolej pertama yang menghantar pelajar menjalani latihan praktikal di Mekah dan Madinah. Setakat ini kami mempunyai 500 orang pelajar yang sedang dan akan menjalani latihan industri di sana secara berperingkat.
“Jika mereka tidak bekerja dalam bidang umrah dan haji, diploma yang dimiliki membolehkan mereka bekerja dalam sektor pelancongan dan pengurusan. Hal ini kerana Diploma Pengurusan Haji dan Umrah silibusnya sama seperti Pengurusan Pelancongan cuma di sini ditambah tentang haji dan umrah,” kata Hasan.
Diploma Pengurusan Haji dan Umrah adalah salah satu pengkhususan bidang di bawah kempen YEG Pesta Sambung Belajar #jangantersalahpilihbidang yang dilancarkan semalam di Royale Chulan Damansara, Selangor.