AGAK lama tidak mendengar khabar penyanyi bersuara serak-serak basah ini.
Kali terakhir kita mengikuti perkembangan vokalis Azlan & The Typewriter ini adalah lebih empat bulan lalu, apabila dia dilaporkan mengalami patah buku lali selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti riadah di kawasan hutan dekat Semenyih.
Kebetulan, Azlan baru-baru ini hadir membuat persembahan khas pada Pertandingan Tingkah Tari sempena Program Santai Budaya Kota Seni Petaling yang dianjurkan di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Rata-rata penonton acara itu menyaksikan sendiri bagaimana sukarnya penyanyi berusia 40 tahun ini bergerak naik turun pentas.
Mungkin kesakitan yang dialami itu masih dia rasai sehingga hari ini. Jadi, usai persembahan, saya segera dapatkan Azlan bagi bertanyakan tentang keadaan kakinya itu.
Katanya, dia masih merasai sakit dan kerana itu pergerakannya untuk ke sana ke mari sedikit terganggu dan terbatas.
“Sudah empat bulan lebih. Saya risau juga. Tapi, kecederaan buku lali memang lama. Melibatkan dua tulang. Apa yang saya amalkan adalah banyakkan pengambilan makanan dan minuman berkalsium.
“Saya ada juga berurut. Tetapi kalau boleh tak mahu biasakan. Sebab, ikut pengalaman, setiap kali urut, seminggu lepas itu mesti akan rasa sakit dan lenguh. Jadi saya kena kurangkan (berurut),” katanya.
Kata Azlan, doktor ada memberitahu bahawa kecederaan dialaminya akan mengambil masa yang lama untuk pulih. Sekurang-kurangnya satu tahun atau lebih.
Ditambah dengan usia yang bakal memasuki 40 tahun, kemungkinan patah tulang yang dialami akan pulih selepas satu tahun atau lebih.
“Saya bersyukur, bukan leher yang patah. Kalau tak, tahulah macam mana.
“Saya masih boleh menyanyi macam biasa. Ada melakukan banyak latihan. Cuma untuk persembahan yang agresif tu agak susah,” katanya lagi.
DUA TAHUN PERAM
Diajak berborak tentang lagu Jangan Khianati Aku yang kini mencecah 24 juta tontonan di Youtube, Azlan bersyukur.
Dia berterima kasih kepada pendengar yang menyokong dan menerima baik lagu berkenaan. Dalam masa singkat, lagu tersebut diterima baik dan menjadi fenomena.
“Saya peram lagu itu selama dua tahun sebelum keluarkannya pada 2019. Studio pula tak aktif selama enam tahun. Saya buat bukan (lagu) suka-suka. Tetapi lirik dan patah katanya memang sesuai untuk suasana pada ketika itu.
“Mungkin sebab itu ia diterima baik. Masa itu saya tak yakin. Boleh ke lagu ini bersaing dengan lambakkan lagu hip hop yang menjadi ‘trendy’ pada masa itu.
“Tetapi selepas menerima pandangan dan nasihat dari mereka yang lebih senior, saya keluarkan juga. Tak sangka penerimaan lagu itu begitu cepat,” ujarnya.