KUALA LUMPUR: Media arus perdana memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula industri muzik nasyid di negara ini.
Mewakili kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, stesen radio dan televisyen (tv) perlu menyediakan lebih banyak peluang untuk mengetengahkan lagu-lagu nasyid kepada audiens.
“Mereka bertanggungjawab mewarnakan kumpulan nasyid. Seperti dulu.
“Kumpulan nasyid dulu, Rabbani, Raihan, Hijjaz, Inteam meriah di kaca tv. Sekarang tak ada.
“Dengan adanya program atau platform yang sesuai untuk kumpulan nasyid, Insya-Allah nasyid akan kembali meriah. Paling tidakpun ia akan bersaing secara positif dalam industri hiburan tempatan,” katanya.
Azadan berkata demikian pada majlis berbuka puasa bertempat di D’Saji, Dewan Perdana Felda dekat sini.
Dalam pada itu, seorang lagi anggota Rabbani, Mohd Asri Ubaidullah berkata dia menyambut baik penglibatan penyanyi-penyanyi BBNU yang berkolaborasi dengan penyanyi nasyid dalam menyampaikan lagu-lagu ketuhanan.
“Secara peribadi, saya bangga. Saya selalu katakan kepada rakan-rakan, nasyid ini ada ‘pakaian’ iaitu rentaknya.
“Saya yakin, seseorang itu pasti bersedia mental dan fizikal sebelum membawakan lagu ketuhanan. Kami seronok apabila melihatkan ada artis BBNU yang mahu menyampaikan lagu-lagu dakwah.
“Mungkin mereka hanya ‘singgah’ sahaja kerana mereka ada genre mereka sendiri. Siapapun yang datang, kita alu-alukan,” katanya.