Maskara wajib ada – Amanda - Utusan Malaysia

Maskara wajib ada – Amanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai pelakon yang baru menapak dalam industri seni, Amanda Emil Khairul Amry atau Amanda Amry mengakui gementar dan gugup ketika perlu melakonkan aksi mencabar untuk sebuah filem pendek.

“Waktu itu saya perlu membuat penggambaran di tengah-tengah hutan dan di waktu malam untuk filem pendek Seliseh.

“Saya terkejut ketika dapat tahu ada babak yang saya perlu lari dan terjatuh ke dalam perigi sedalam dua meter.

“Masa itu umur saya baru 12 tahun, jadi memang gementar dan takut. Tetapi dengan sokongan keluarga, pengarah dan ahli produksi, saya berjaya harungi juga.

“Sejak itu, saya mula suka melakukan aksi mencabar dan terbuka melakukannya lagi di masa depan,” katanya.

Gadis berusia 19 tahun itu memulakan langkahnya dalam industri seni ini sebagai bakat komersial sejak usia lima tahun.

Sehingga kini, Amanda pernah muncul dalam sitkom Oh My English! (2012), Siri Geng Gadjet (2020), filem Zombitopia (2021), Lu Pikir La Nabil Musim 2 (2022), drama Kau Cipta Kasih (2022) dan yang terbaharu, drama Jangan Menangis Cinta.

“Dalam drama terbaharu itu, saya membawa watak Puteh sebagai adik bongsu kepada Amyra Rosli dan Atilia Haron. Puteh dianggap sebagai penyeri keluarga yang sentiasa menceriakan hari-hari keluarganya.

“Bagi yang belum tahu, Jangan Menangis Cinta kini ditayangkan di Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis, pada 10 malam,” katanya.

Amanda akui, setelah terlibat dengan beberapa drama dan filem, banyak perkara yang masih perlu dipelajari untuk kuasai dunia lakonan.

“Setelah terlibat dengan beberapa drama, banyak yang dipelajari. Rupanya berlakon dalam drama sangat berbeza dengan berlakon dalam iklan.

“Penghayatan dan penyampaian watak perlu dikuasai betul-betul kerana setiap babak itu mempunyai makna.

“Saya bersyukur kerana dapat belajar dan bekerjasama dengan pelakon-pelakon hebat. Mereka semua telah banyak membantu menambah baik skill lakonan saya,” kata anak kelahiran Selangor itu.

Amanda kini sedang melanjutkan pelajarannya dengan mengambil asasi dalam bidang seni di University of Cyberjaya.

Selain berlakon, Amanda berkata, dia turut minat untuk menjadi pengacara dan sentiasa terbuka untuk mencuba perkara-perkara baharu.

Selain itu, dia turut merancang untuk membuat perniagaan dengan mengeluarkan jenama maskara miliknya di masa depan.

“Saya sedang dalam proses penye­lidikan dan pembangunan (R&D) untuk mengeluarkan maskara jenama sendiri.

“Memandangkan maskara adalah antara benda yang wajib ada dengan saya, saya nak cuba hasilkan sesuatu yang diminati.

“Semoga projek ini akan menjadi kenyataan dan memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya