LISA Kamal belum jadi penyanyi handalan. Dia belum prolifik, belum juga cemerlang. Namun, dalam diri gadis bijak ini ada potensi muzik yang besar. Butang potensinya baru disentuh, belum ditekan habis.
Saya ingin mengajak anda menukar gear sedikit minggu ini. Sebelum ini Rondivu sinonim dengan lapangan muzik melibatkan kugiran tetapi minggu ini, kita dalami sedikit pojok penyanyi-pencipta yang sudah lama tidak saya kunjungi.
Kepintaran berbahasa
Saya pernah mengulas cubaan seorang penyanyi wanita menulis lagu tentang kecelaruan mental. Penyanyi ini malah membuat kenyataan terbuka bahawa liriknya itu adalah tentang penyakit mental tertentu. Bagi saya, dia gagal.
Sebab menulis tentang kecelaruan mental itu tidak mudah. Kecelaruan mental bukan tentang perasaan tetapi bandungan perasaan. Kalau kita sedih, itu perasaan. Jika kita murung, itu bandungan rasa sedih, marah, kecewa, amuk, antisyukur malah kadang-kadang terselit juga rasa gembira yang entah dari mana datang. Begitulah rumitnya menulis tentang kemurungan dan kecelaruan mental yang lain.
Namun, Lisa berjaya. Lirik lagu keduanya, Unlovable dikarang sebagai kumpulan kata-kata yang tepat untuk menggambarkan perasaannya ketika berada pada detik terendah hidupnya. Tidak layak disayangi. Rasa benci terhadap diri sendiri yang telah tersebar dan menjangkiti orang di sekelilingnya.
Lirik Unlovable buat saya faham bahawa tenaga mereka yang dihurung murung paling banyak diperah oleh usaha untuk berpura-pura. Pura-pura gembira dan cerlang (vibrant) di tempat kerja tetapi pulang saja di bilik, kita kepenatan dan habis daya.
Saya membayangkan detik Unlovable Lisa adalah apabila dia tiada tenaga lagi untuk berpura-pura. “All I know I can’t pretend that I’m lovable,” tulisnya.
Lisa memilih untuk menjadi rapuh dalam lagu ini, membenarkan pendengar masuk ke kamar peribadinya dan menonton dia bergelut dengan kemurungan. Ini keberanian dan keikhlasan berkarya tahap tinggi.
Pecahkan kurungan struktur
Ketika pertama kali membaca lirik Unlovable, saya terfikir, Lisa belum cukup luah. Ada bahagian dalam diri saya yang berkata, ada lagi yang mahu ditulisnya tetapi mungkin terbatas kerana struktur lagu.
Ini merupakan ruang penambahbaikan yang boleh diambil Lisa. Lupakan struktur lagu yang konvensional. Tulis lirik semahunya, kemudian baru fikir tentang rupa lagu yang ingin dibentuk.
Ini penting kerana kekuatan Lisa, setakat ini, ialah lirik. Kepintarannya berbahasa perlu dimanfaat sepenuhnya untuk menghasilkan lagu yang betul-betul memuaskan, betul-betul meluahkan.
Rujukan tempatan yang boleh diperhati ialah A. Limin, Bagaimana beberapa lagu, seperti Januari, melanggar struktur lagu yang konvensional. Januari tiada korus dan ada sebab mengapa ia tiada korus.
Rujukan yang lebih jauh ialah Don McLean. Lihat bagaimana lirik lagu berhantunya, American Pie dihasilkan. Strukturnya masih ada tetapi McLean menolak pengulangan banal. Cukup hanya korus yang diulang berkali-kali (itupun masih ada perubahan sedikit yang disuntik dalam setiap ulangan), rangkap lain diluahkan semua yang dia mahu luah.
Sebagai seorang Swifties juga, Lisa boleh ambil ilham dari lagu All Too Well. Lagu panjang sebegitu memang tak sesuai jika Lisa kekal dengan strategi melancarkan lagu tunggal tetapi jika dia bersedia untuk melancarkan EP atau album, lagu sebegitu boleh diselit. Saya sejujurnya sangat mahu Lisa menghasilkan sebuah lagu dengan lirik yang sangat panjang dan melanggar aturan konvensional lagu mesra radio.
Cari identiti
Langkah seterusnya untuk Lisa maju sebagai penyanyi-pencipta handalan ialah mencari identiti. Sukar untuk penyanyi-pencipta wanita tempatan keluar dari bayang-bayang ‘Yuna pra-Amerika’ tetapi potensi itu tetap ada.
Cari rujukan yang lebih luas baik dari dalam atau luar negara. Cabar diri dengan eksperimentasi dan cuba memberontak, langgar aturan-aturan yang ada dengan asas yang kukuh.
Saya suka memerhati perkembangan penyanyi-pencipta wanita tempatan kerana saya selalu berharap keunggulan Taylor Swift, keunikan Billie Eilish dan kemunculan Olivia Rodrigo dapat memberi impak kepada industri muzik negara. Biarlah pada awalnya pengaruh tiga wanita terlalu kuat, yang penting ada usaha untuk membentuk identiti sendiri selepas itu.
Ini akan memberi warna yang sangat kita perlukan dalam industri yang kian tepu dengan warna-warna yang sama. Bawa kelainan dan beri peluang kepada industri untuk diperhati semula oleh peminat muzik muda dalam negara.
Unlovable bukanlah naskhah yang hebat tetapi ia boleh menjadi pemula langkah untuk Lisa terus melebarkan sayapnya; menjadi pengisi semangat untuk dia lebih berani berkongsi karya kepada khalayak.