PETALING JAYA: Bagi memeriahkan lagi hari raya tahun ini, syarikat rakaman Universal Music Malaysia, melancarkan deretan lagu raya bertemakan ‘Raya All Out’ yang menampilkan barisan penyanyi ternama negara dan penyanyi baharu.
Antaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Yonnyboii, DOLLA, Kmy Kmo, Luca Sickta, Sophia Liana, Hannah Delisha, Asyraf Nasir, Siqma dan The Gadys.
Satu daripada senarai lagu itu adalah lagu Balik Kampung yang diberi nafas baharu oleh gabungan penyanyi dan rapper popular, Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, Asyaraf Nasir serta Yonnyboii.
Lagu tersebut disusun semula oleh Luca Sickta yang turut bertindak selaku penerbit selain disuntik rasa hip hop dengan cangkuk dan melodi asli.
Menurut Asyraf, dia berpendapat lagu Balik Kampung itu masih mengekalkan sentuhan asal nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman.
“Lagu ini diadun semula atau dengan baik oleh Luca Sickta dan sangat ‘catchy’ kerana bahagian korus lagu ini yang kita sedia maklum asalnya dari lagu penyanyi legenda, Datuk Sudirman Haji Arshad bertajuk Balik Kampung.
“Sejujurnya, saya sangat teruja diberikan kesempatan ini untuk menambah lagi serba sedikit elemen hip hop dan penulisan baharu dalam lagu ini,” katanya.
Bagi Siqma pula, lagu tersebut menceritakan mengenai perasaan rindu pulang ke kampung bagi menyambut hari raya selepas dua tahun tidak dapat berbuat sedemikian.
“Lagu ini berkenaan perasaan rindu dan perjalanan sebelum, semasa dan selepas pulang ke kampung untuk menyambut hari raya pada tahun ini,” tuturnya ringkas.
Berkongsi mengenai proses penulisan lagu, Luca Sickta berkata ia dibantu oleh Yonnyboii.
“Penulisan saya dibantu oleh Yonnyboii dan ia mengisahkan mengenai seorang yang takut untuk pulang ke kampung tetapi tetap merindui suasana, keluarga dan beraya di kampung.
“Begitu juga dengan proses rakaman yang mana ia sangat mudah serta turut dibantu oleh Yonnyboii.
“Semoga lagu Balik Kampung ini dapat menemani pendengar ketika dalam perjalanan balik ke kampung tidak kira di hari perayaan ataupun tidak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kmy Kmo memuji kerjasama dan komitmen baik yang diberikan oleh semua yang terbabit dalam menghasilkan lagu itu.
Sekadar informasi, Lagu Balik Kampung dilancarkan secara rasmi pada 15 April di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.
Manakala lirik video lagu itu akan ditayangkan di saluran YouTube Def Jam Malaysia pada hari yang sama, jam 9 malam.