Layarkan lagu untuk pujuk hati - Utusan Malaysia

Layarkan lagu untuk pujuk hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pendatang baharu dunia muzik, kumpulan Prasangka tampil dengan single kedua berjudul Layarkan yang mengisahkan tentang perjalanan hidup yang harus diteruskan tatkala negara bahkan seantero dunia digoncang dengan Covid-19.

Menurut Prasangka, Layarkan adalah lagu yang bertujuan untuk memujuk hati agar tetap bertahan walaupun hidup dilanda kepayahan, musibah dan dugaan dengan berbekalkan keyakinan tertinggi terhadap Maha Pencipta.

Single tersebut adalah lagu kedua Prasangka yang dirakamkan pada April tahun lalu yang ditunjangi oleh komposer serta penyanyi kumpulan itu sendiri, Ajis Hisham, 35.

“Asalnya, saya ini seorang pemain gitar. Sejak di bangku sekolah lagi sudah aktif bermain muzik.

“Setelah beberapa lama, baru saya tubuhkan kumpulan sendiri pada 2018. Masa mula-mula saya main gitar sahaja namun saya ingin mencuba dan mencabar diri untuk menyanyi.

“Sekarang saya merupakan penyanyi untuk Prasangka dan masih belajar untuk improve dari segi teknik nyanyian,” katanya kepada Pancaindera.

Ajis memberitahu, Layarkan kini boleh didengari di laman YouTube rasmi Luncai Emas dan semua platform digital.

Walaupun masih baharu dalam industri, itu tidak menjadi penghalang untuk kumpulan ini mengorak langkah besar dalam karier mereka.

Melangkah ke hadapan, Prasangka yang dianggotai oleh Ajis (pemain gitar dan penyanyi), Areef Iskandar (pemain gitar) dan Hazmeer Rojani (Gitar), akan mengeluarkan EP pertama mereka yang merangkumi enam lagu pada pertengahan tahun ini.

Segala pembikinan mixing dan mastering diadun di Dapo Rekod, Negeri Sembilan. Areef diberi kepercayaan untuk mengendali seluruh proses rakaman EP tersebut.

Bercakap mengenai cabaran semasa menghasilkan EP itu, Ajis berkata, EP itu sepatutnya sudah siap pada 2020 lagi.

“Tetapi apakan daya, Covid-19 melanda seluruh dunia sehingga menyebabkan proses rakaman ditangguhkan beberapa kali.

“Awal tahun ini baru kami berjaya siapkan segala proses rakaman EP pertama ini. Itu adalah satu pengalaman pahit buat kami,” katanya.

Prasangka memperjuangkan konsep rock ‘n roll, bluegrass dan kerakyatan dengan cara mereka tersendiri.

Menurut kumpulan ini, mereka dipengaruhii muzik daripada beberapa kumpulan ternama antaranya Kembara, Search, Al Di Meola, Roy Clark dan Sirkus Barock.

“Kami memilih syarikat Luncai Emas Sdn. Bhd. untuk edaran digital kerana ia bersesuaian dengan konsep dan citarasa kami serta merupakan syarikat penerbitan tempatan.

“Jadi kami menyokong syarikat tempatan. Layarkan pula terdapat ilustrasi sangkar, melambangkan diri kita yang terkurung dengan sendirinya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya